Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana hari ini yagn turut menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Dr Abdul Somad Batubara sebagai tetamu. Foto kredit - PMO
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur pihak yang mudah melabel individu dan Belanjawan 2027 sebagai “munafik”, sambil menegaskan kerajaan terus memberi perhatian kepada pembangunan Islam, termasuk memperkukuh institusi pengajian pondok di seluruh negara.
Anwar berkata, kerajaan mendapatkan pandangan ulama, guru agama dan tokoh Islam ketika merangka belanjawan itu bagi memastikan keperluan pembangunan Islam diberikan perhatian sewajarnya.
Menurutnya, pendekatan kerajaan ketika ini berbeza berbanding dahulu apabila institusi pondok serta golongan agamawan didakwa kurang diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negara.
“Nak lakar Belanjawan 2027, ditanya apakah yang lebih baik untuk Islam, apa lagi nak tambah? Dahulu kita tinggalkan institusi pondok dan pesantren, kini kita bina semula.
“Dulu kita ketepikan syeikh-syeikh dan guru-guru agama serta tuan-tuan guru, sekarang kita panggil, minta pandangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana hari ini.
Majlis itu menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Dr Abdul Somad Batubara sebagai tetamu.
Anwar mengakui berasa kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang menggunakan label “munafik” ketika mengkritik kerajaan dan belanjawan yang dibentangkan, namun memilih untuk tidak membalas serangan berkenaan.
“Bila dibahas di Parlimen, dia kata ini pemimpin munafik dan belanjawannya munafik. Ustaz Abdul Somad kalau saya tanya dia, ‘Sabar, Pak’. Hati menggelegak tetapi sebenarnya saya sabar, saya tak jawab,” katanya.
Beliau berkata, isu itu bukan sekadar berkaitan kritikan politik, sebaliknya mencerminkan masalah lebih besar apabila sesetengah pihak yang mengaku memperjuangkan Islam tidak menunjukkan akhlak dan keperibadian yang baik.
Menurutnya, nilai kesederhanaan dan toleransi perlu menjadi sebahagian daripada amalan mereka yang membawa nama Islam, termasuk ketika berbeza pandangan dalam politik.
“Those who profess Islam, dia tidak membantu, dia tidak memberikan contoh yang baik dari segi akhlak, peribadi, kesederhanaan dan toleransi,” katanya.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul mengarahkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan menarik balik perkataan “munafik” yang digunakan ketika perbahasan di Parlimen.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Somad atas kesudian berkongsi ilmu dan memberikan teguran yang disifatkannya penting untuk penambahbaikan negara.
Beliau mengakui pendakwah itu terkenal dengan teguran yang berani dan tajam, termasuk terhadap pihak berkuasa, namun menegaskan kerajaan perlu menerima kritikan secara terbuka bagi memperbaiki tatakelola.
“Tetapi dalam pengalaman kita mengenai soal tatakelola dan tatacara ini, terima baik teguran-teguran dan kita cuba perbaiki,” katanya.
Belanjawan 2027 dijangka terus menjadi perhatian pelbagai pihak, khususnya berkaitan peruntukan pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat serta usaha memperkukuh institusi agama dan pendidikan Islam negara.
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum