Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Seramai 12,710 pegawai dan anggota polis di Johor akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada 7 Julai ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata jumlah itu adalah berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 21 Mei lalu.
Menurut beliau, pengundi awal terbabit terdiri daripada anggota dan pegawai yang bertugas di bawah pentadbiran Polis Kontinjen Johor termasuk Maktab Teknik PDRM Muar, dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Simpang Renggam dan Muar, Pusat Latihan Polis Segamat, Pusat Latihan Pasukan Polis Marin (PPM) Tampoi, Pangkalan PPM Wilayah Dua Johor serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Johor Bahru.
“Seramai 12,710 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam proses pengundian awal bagi PRN Johor kali ini,” katanya pada sidang media mengenai persiapan dan kesiapsiagaan Polis Johor menghadapi PRN Johor ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan atau mengganggu ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira latar belakang, fahaman politik atau kedudukan mana-mana individu,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang akan diberi perhatian termasuk provokasi, ugutan, hasutan, penyebaran berita palsu, ucapan berbaur kebencian, perbuatan khianat serta sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negeri.
Sehubungan itu, Ab Rahaman menggesa semua parti politik, calon dan penyokong agar mengamalkan kematangan politik serta mematuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menghormati segala garis panduan yang ditetapkan oleh SPR dan pihak berkuasa.
“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan setiap proses pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar, telus dan berintegriti. Kerjasama ini meliputi aspek keselamatan pusat penamaan calon, pusat mengundi, pusat penjumlahan rasmi undi, pengiringan bahan pilihan raya serta keselamatan petugas SPR,” katanya.
Ab Rahaman turut memberi jaminan tahap keselamatan di Johor akan terus dipelihara sepanjang tempoh PRN berlangsung bagi membolehkan rakyat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam keadaan selamat dan teratur.
PAS perlu uji kekuatan sebenar ‘gelombang hijau’, tinggalkan PN bertanding guna bulan
21 saksi selesai beri keterangan dalam kes rasuah bekas MB Perlis
PAS disaran keluar PN, bentuk gabungan baharu bersama UMNO: Tun Faisal
PKR teliti tindakan undang-undang terhadap Rafizi, Nik Nazmi
Ramasamy sindir PAS, ucap ‘terima kasih’ berjaya pecahkan PN
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar