Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 secara rasminya bermula hari ini apabila proses penamaan calon berlangsung serentak di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negeri, sekali gus membuka tirai kempen selama 14 hari menjelang hari pengundian pada 11 Julai.
Proses penamaan calon bermula tepat jam 9 pagi dengan semua bakal calon diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan.
Sejurus pengisytiharan calon dibuat, tempoh berkempen akan bermula sehingga jam 11.59 malam, 10 Julai, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengingatkan semua calon dan penyokong supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta peraturan pihak berkuasa tempatan sepanjang tempoh kempen.
“Semua pihak perlu mematuhi undang-undang pilihan raya termasuk larangan menggunakan alat muzik atau pembesar suara melalui kenderaan bagi tujuan berkempen demi memastikan proses demokrasi berjalan dengan aman dan teratur,” menurut peringatan SPR.
Setakat semalam, sebanyak 593 borang pencalonan telah dijual, manakala 133 bakal calon sudah menjelaskan wang deposit sebagai syarat penyertaan.
PRN Johor kali ini melibatkan 2,727,926 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera serta pasangan mereka dan 12,710 anggota polis bersama pasangan.
Persaingan dijangka sengit apabila gabungan parti utama mempertaruhkan penyandang, muka baharu serta beberapa bekas wakil rakyat bagi merebut kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua kerusi dengan agihan 20 calon PKR, 19 Amanah dan 17 DAP. Barisan Nasional (BN) turut meletakkan calon di semua 56 kerusi menerusi 36 calon UMNO, 16 MCA dan empat MIC.
Perikatan Nasional (PN) pula bertanding melalui PAS di 11 kerusi, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) lima kerusi dan Parti Pejuang satu kerusi.
Turut mencuri perhatian ialah penyertaan Parti MUDA di empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu kerusi serta kemunculan sulung Parti Bersama yang dijangka bertanding di 15 kerusi.
Seawal pagi, penyokong parti mula memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing, manakala 4,832 anggota polis ditempatkan untuk mengawal keselamatan, mengurus lalu lintas serta penutupan dan lencongan di 19 jalan utama berhampiran PPC.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa kawasan pada waktu pagi dan ribut petir pada sebelah petang, namun keadaan itu dijangka tidak menjejaskan kelancaran proses penamaan calon.
PRN Johor diadakan selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lalu. Sebelum pembubaran, BN menguasai 40 kerusi DUN, diikuti PH (12), PN (tiga) dan MUDA (satu).
Calon ‘underdog’ PH lawan Onn Hafiz sedia beri saingan sengit di DUN Machap
Bersatu berkempen dengan kekuatan sendiri, tak apa PAS tak mahu bantu: Muhyiddin
Anwar nafi ada arahan halang masuk kawasan FELDA
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
SPR jual 553 borang calon menjelang hari penamaan PRN Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar