Calon PH di Puteri Wangsa, Maszlee Malik.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Maszlee Malik bertekad membawa lembaran baharu kepada Johor menerusi agenda pembangunan yang lebih seimbang, selain memberi tumpuan kepada ekonomi berpendapatan tinggi, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Menurut bekas Menteri Pendidikan itu, kemenangan PH di Puteri Wangsa dan seluruh Johor mampu mencorakkan hala tuju baharu negeri tersebut dengan memastikan pembangunan tidak lagi tertumpu di bahagian selatan sahaja.
“Kemenangan Puteri Wangsa dan juga seluruh negeri Johor akan membawa kepada episod baharu di negeri ini. Kita mahu Johor yang membawa kemajuan yang seimbang di seluruh daerah, bukan hanya tertumpu di Johor Selatan.
“Kita mahu setiap pihak menikmati kehidupan yang lebih baik, bukan hanya untuk golongan tertentu tetapi untuk semua,” katanya selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Dato Onn hari ini.
Maszlee berkata, PH komited menarik pelaburan strategik yang mampu menawarkan pekerjaan bergaji tinggi sekali gus menggalakkan lebih ramai anak Johor yang kini bekerja di luar negara atau negeri lain pulang berkhidmat di negeri kelahiran mereka.
“Kita mahu membawa pelaburan yang benar-benar strategik dengan menawarkan gaji lebih tinggi supaya anak-anak Johor dapat pulang dan bekerja di negeri sendiri, bukan lagi terpaksa mencari rezeki di luar,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor, di samping memperkukuhkan kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) yang disifatkannya masih memerlukan perhatian lebih serius.
Selain itu, Maszlee berkata, PH juga mahu membantu lebih ramai golongan muda memiliki rumah mampu milik serta memperluaskan penyediaan taska komuniti dan taska di tempat kerja bagi memudahkan lebih ramai wanita menyertai pasaran pekerjaan.
Mengulas usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata, PH akan memperhebat kempen bagi menggalakkan pengundi yang berada di Kuala Lumpur, Singapura dan kawasan lain pulang menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai.
“Kita akan merayu dan memberikan keyakinan kepada mereka agar pulang mengundi kerana mereka bukan sahaja mengundi untuk hari ini, tetapi untuk masa depan mereka, anak cucu dan masa depan negeri Johor.
“Kita mahu Johor bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan supaya lebih banyak pembangunan yang seimbang dan berkualiti dapat dibawa ke negeri ini,” katanya.
PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Calon ‘underdog’ PH lawan Onn Hafiz sedia beri saingan sengit di DUN Machap
Bersatu berkempen dengan kekuatan sendiri, tak apa PAS tak mahu bantu: Muhyiddin
PRN Johor buka tirai, 56 kerusi jadi rebutan
Anwar nafi ada arahan halang masuk kawasan FELDA
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar