Rosmah Mansor.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Rosmah Mansor untuk mencabar keputusan terdahulu yang mengekalkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan sebagai hakim perbicaraan dalam kes rasuah projek tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Azizah Nawawi, bersama Lee Swee Seng dan Ravinthran N Paramaguru selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi syarat di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Dengan itu, permohonan semakan ini ditolak,” kata Azizah ketika membacakan keputusan mahkamah.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata panel mendapati tiada sebarang kegagalan mahkamah ketika menjalankan fungsi kehakiman seperti didakwa pemohon.
Menurut beliau, ketiga-tiga hakim yang mendengar rayuan sebelum ini dilantik secara sah, hadir sepanjang prosiding dan berupaya melaksanakan tugas kehakiman sepenuhnya.
Rosmah turut berhujah haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil terjejas selepas mendakwa dokumen penghakiman disediakan Unit Penyelidikan telah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi tanpa pengetahuan pasukan pembelaan.
Beliau mendakwa keadaan itu menafikan peluang pembelaan memberi maklum balas sekali gus melanggar prinsip keadilan asasi.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan isu berkenaan menyentuh merit rayuan dan bukannya alasan yang membolehkan semakan dibuat di bawah Kaedah 137.
“Mahkamah ini tidak boleh meletakkan dirinya seolah-olah sedang mendengar rayuan dan memutuskan kes atas kapasiti itu,” kata Azizah.
Keputusan hari ini sekali gus mengesahkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Mac lalu yang menolak rayuan akhir Rosmah untuk menyingkirkan Mohamed Zaini daripada mengendalikan kes berkenaan.
Panel ketika itu memutuskan tiada kesilapan undang-undang atau fakta yang cukup serius untuk membolehkan campur tangan dibuat, selain Rosmah gagal membuktikan wujud bahaya sebenar berlakunya berat sebelah dalam penghakiman.
Kes itu bermula apabila Rosmah memfailkan permohonan pada 26 Ogos 2022, beberapa hari sebelum keputusan kes diumumkan, selepas mendakwa berlaku kebocoran dokumen penghakiman yang disiarkan sebuah portal berita.
Beliau memohon Mohamed Zaini menarik diri, selain meminta perbicaraan dibicarakan semula di hadapan hakim lain serta keputusan kes digantung sementara menunggu siasatan terhadap dakwaan kebocoran dokumen selesai.
Namun pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak, selain didenda RM970 juta. Sekiranya gagal membayar denda itu, beliau berdepan hukuman penjara tambahan 30 tahun.
Projek tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion itu membabitkan pembekalan elektrik kepada sekolah-sekolah di kawasan pedalaman Sarawak. Kes berprofil tinggi itu menjadi antara perbicaraan rasuah terbesar melibatkan isteri bekas perdana menteri.
Sementara itu, rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukuman dalam kes berkenaan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 1 September ini.
Laporan RCI Tabung Haji: Amaran BNM sejak 2014 tidak diendahkan, tanggung rugi RM10 bilion
Pelaku sebabkan kerugian Tabung Haji akan disiasat : PM
Myanmar setuju terima semula 5,000 Rohingya dari Malaysia
Sindiket SMS penipuan guna fake BTS digempur MCMC, seorang ditahan di Johor
TH sudah laksana 75 peratus syor RCI, komited perkukuh tadbir urus
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS