Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH), hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman berkata lapan pegawai penyiasat dihantar ke ibu pejabat TH bagi meneliti dokumen berkaitan.
Menurutnya, siasatan dijalankan susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya agensi penguat kuasa mengambil tindakan berdasarkan dapatan laporan RCI yang didedahkan kepada umum baru-baru ini.
“Pasukan penyiasatan sudah memulakan siasatan pagi ini dengan mengenal pasti dokumentasi berkaitan perkara yang dinyatakan dalam RCI serta perkara yang mempunyai kaitan dengan siasatan kami.
“Pada peringkat ini, kami juga sedang mengenal pasti individu yang akan dipanggil untuk dirakam percakapan. Kami akan menyaring dan mengklasifikasikan senarai mereka sebelum dipanggil mengikut aturan siasatan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, skop siasatan tidak dihadkan kepada tempoh tertentu, sebaliknya akan berpandukan kepada penemuan serta syor yang terkandung dalam laporan RCI.
Menurutnya, siasatan bertujuan menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, selain semua dokumen yang mempunyai kaitan akan diperoleh untuk dianalisis.
“Mana-mana dokumen yang diperlukan dan mempunyai kaitan dengan siasatan akan diambil untuk dikaji dan diteliti bagi membuat rumusan hasil siasatan,” katanya.
Mengulas sama ada bekas pemimpin tertinggi TH turut akan dipanggil, Abd Halim menegaskan mana-mana individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil memberi keterangan.
Sementara itu, SPRM turut menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti dapatan laporan RCI menggunakan peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Mohd Hafaz Nazar dilantik mengetuai pasukan khas itu bagi meneliti sebarang isu perundangan membabitkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI TH kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut diteruskan oleh badan penguat kuasa berdasarkan dapatan laporan berkenaan.
Laporan RCI mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan TH memaklumkan pengurusan tertingginya sudah melaksanakan kira-kira 75 peratus daripada syor tersebut.
Prestasi institusi itu juga dilihat semakin pulih selepas mengumumkan agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025. Namun, kerajaan menegaskan sebarang dakwaan berkaitan salah laku atau penyelewengan yang dibangkitkan dalam laporan RCI akan disiasat mengikut lunas undang-undang.
Kenyataan fitnah, Anwar tuntut Tuan Ibrahim mohon maaf
KDN tunggu hasil siasatan isu ucapan Sanusi
Laporan RCI Tabung Haji tamparan buat umat Islam, buka mata rakyat
Anwar mahu episod kerugian Tabung Haji tidak berulang
Kes hantaran palsu: Papagomo perlu bela diri September ini
[VIDEO] NGO Melayu N9 seru rakyat pertahan kestabilan dan agenda pembangunan, tolak fitnah dan sentimen kaum
[VIDEO] Jangan guna laporan RCI untuk bersihkan pemimpin salah tadbir TH walaupun tiada ‘sakau’