Dr Zulkifli Hasan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji (TH) ketika pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) turut berada dalam Lembaga Pengarah syarikat pelaburan itu.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika memberikan taklimat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH dalam persidangan khas Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Zulkifli, kedudukan individu sama dalam dua entiti terbabit menimbulkan persoalan serius mengenai kemungkinan berlaku konflik kepentingan ketika keputusan pembelian tanah TRX dibuat.
“TH turut membeli tanah di TRX daripada 1MDB ketika kontroversi syarikat itu berada di kemuncaknya.
“Persoalan besar timbul apabila CEO Tabung Haji ketika itu turut menjadi anggota Lembaga Pengarah 1MDB,” katanya.
Beliau berkata, persoalan utama ialah sama ada pembelian tanah tersebut dibuat untuk kepentingan TH atau turut mengambil kira kepentingan pihak lain yang berdepan masalah ketika itu.
“Adakah pembelian itu dibuat demi kepentingan terbaik TH atau bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pihak lain?” katanya.
Zulkifli turut mendedahkan isu pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana Bhd yang turut dikaitkan dengan persoalan konflik kepentingan.
Menurutnya, Pengerusi TH ketika itu turut dilantik sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana, sebelum syarikat berkenaan terbabit dalam urus niaga dengan 1MDB.
“Individu sama adalah Pengerusi TH dan Pengerusi Putrajaya Perdana, malah syarikat itu kemudian terbabit dalam urus niaga dengan 1MDB.
“Akhirnya, TH mengalami kerugian sebanyak RM145.3 juta,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu antara penemuan yang menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus TH serta bagaimana keputusan pelaburan dibuat ketika tempoh berkenaan.
Laporan RCI setebal 211 muka surat yang diterbitkan pada 29 Julai lalu meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Antara penemuan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, campur tangan politik dalam pengurusan serta kaedah pengagihan keuntungan yang tidak mengambil kira secukupnya susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.
Laporan itu turut mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, jika Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.
Isu tadbir urus TH kini menjadi perhatian selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menitahkan supaya siasatan terhadap laporan RCI berkenaan dijalankan secara menyeluruh.
Baginda turut menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang.
Dewan Rakyat hari ini mengadakan persidangan khas bagi membincangkan laporan RCI TH, dengan sesi dimulakan menerusi penjelasan Zulkifli sebelum diteruskan dengan pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.
Bersatu pertahan RCI TH, kecam tindakan Ahli Parlimen PN keluar dewan
Keluar Dewan: Pembangkang PN tak peduli amanah pendeposit Tabung Haji?
Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung kenyataan fitnah
Bendera tanpa bulan bintang, Akmal mahu penjelasan MBKT
Bersatu kena cari jalan kuasai semula PN: Puad
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan