Tabung Haji.
Sebanyak 13 daripada 17 syor penambahbaikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berada di bawah tanggungjawab institusi itu sudah dilaksanakan, manakala empat lagi masih dalam tindakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, empat syor yang belum selesai membabitkan pindaan Akta Tabung Haji 1995 serta skop pengawasan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Menurutnya, RCI mengemukakan keseluruhan 25 syor, dengan lapan lagi berada di bawah tanggungjawab pihak lain.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, Zulkifli turut mendedahkan dapatan RCI mengenai kelemahan proses pengauditan penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017.
RCI berpandangan Ketua Audit Negara (KAN) tidak mengambil pendirian tegas dalam proses pengauditan dan penyata kewangan bagi tempoh berkenaan tidak sepatutnya diberikan Sijil Audit Bersih.
“Walaupun Penyata Kewangan TH bagi 2014-2017 telah diberikan Sijil Audit Bersih bagi tahun 2017, KAN telah memasukkan ‘Penegasan Perkara’ atau ‘Emphasis of Matter’. RCI berpandangan isu yang dibangkitkan adalah lebih serius dan sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan serta membawa kepada pendapat audit yang berteguran,” katanya.
Lebih mengejutkan, RCI berpandangan TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih kira-kira RM1.4 bilion bagi 2017 sekiranya piawaian pelaporan kewangan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan ketika itu.
Zulkifli menjawab soalan Madius Tangau (GRS-Tuaran) mengenai dapatan RCI, status pelaksanaan 25 syor serta tarikh laporan penuh dan matriks tindakan dibentangkan di Parlimen.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said mendedahkan sebanyak 19 kes membabitkan 12 ahli politik menerima perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi tempoh 2010 hingga Julai 2026.
Beliau berkata, angka itu berdasarkan rekod semakan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia melibatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di seluruh negara.
Azalina menjelaskan DNAA tidak bermaksud seseorang tertuduh dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan kerana pihak pendakwaan masih boleh membawa semula kes berkenaan ke mahkamah.
“Seseorang yang diberikan DNAA masih boleh didakwa semula atas pertuduhan yang sama sekiranya pihak pendakwaan memutuskan untuk berbuat demikian berdasarkan fakta, keterangan dan perkembangan kes,” katanya.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai jumlah kes jenayah membabitkan ahli politik yang menerima DNAA dalam tempoh berkenaan.
RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan dan kedudukan kewangan institusi itu.
Dapatan serta syor suruhanjaya berkenaan menjadi asas kepada langkah penambahbaikan tadbir urus, pelaporan kewangan dan pengawasan terhadap TH.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum