Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus.
Dendam peribadi berkaitan urusan nombor ramalan dipercayai menjadi motif seorang lelaki menyimbah petrol sebelum membakar seorang wanita di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, pada 9 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata suspek lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan di Kepong semalam bagi membantu siasatan.
“Polis akan memohon reman terhadap suspek hari ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah dendam peribadi berkaitan nombor ramalan. Suspek dan mangsa dipercayai tiada hubungan persaudaraan namun saling mengenali antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Fadil, mangsa berusia 62 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira 50 peratus pada tubuh badan dan masih menerima rawatan di hospital.
“Mangsa masih dirawat dan dalam keadaan sedang ditidurkan,” katanya.
Kejadian itu sebelum ini menggemparkan penduduk sekitar Taman Pusat Kepong selepas seorang wanita yang bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan diserang seorang lelaki pada kira-kira jam 8 pagi.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai disimbah cecair mudah terbakar sebelum suspek membakarnya, menyebabkan wanita berkenaan mengalami kecederaan serius.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Jasni Zolpa, sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian seorang wanita diserang lelaki tidak dikenali di premis berkenaan.
Susulan kejadian, polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan motif serangan sebelum berjaya menahan lelaki terbabit di Kepong.
Siasatan kini diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan, manakala suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum