Anwar rasmi Menara FINAS baharu, industri kreatif masuk fasa baharu

August 24, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Damansara Damai, Selangor, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh ekosistem industri filem, audiovisual dan ekonomi kreatif negara.

Perasmian itu turut menandakan fasa baharu FINAS dalam menyatukan fungsi pembangunan industri, pelesenan, penguatkuasaan, dokumentasi serta pengarkiban audiovisual di bawah satu kompleks yang lebih bersepadu dan bersedia menghadapi perubahan landskap kandungan digital.

Menara FINAS juga menjadi simbol penting dalam sejarah institusi itu apabila 2026 menandakan ulang tahun ke-45 penubuhan FINAS, selain memperingati 80 tahun legasi Malayan Film Unit yang kemudiannya dikenali sebagai Filem Negara Malaysia.

“Menara FINAS menjadi asas penting untuk membina ekosistem industri kreatif yang lebih tersusun, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan teknologi serta corak penggunaan kandungan,” menurut FINAS dalam kenyataan media.

FINAS ditubuhkan pada 1981 sebelum mula beroperasi secara rasmi di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang pada 1988. Malayan Film Unit pula ditubuhkan pada 1 April 1946, dinamakan Filem Negara Malaysia pada 1963 dan digabungkan secara rasmi dengan FINAS pada 1 Januari 2013.

Dibina di atas tapak seluas 5.14 ekar, projek Menara FINAS dimulakan pada 20 Januari 2021 sebelum menerima Perakuan Siap dan Pematuhan pada 18 Disember 2025. Perakuan Siap Kerja pula diterima pada 22 Mei 2026 dan FINAS mula beroperasi sepenuhnya di lokasi baharu itu pada 6 Ogos lalu.

Kompleks berkenaan dilengkapi Dewan Panca Delima, dua studio Sound Stage, Pawagam Digital P. Ramlee berkapasiti 300 tempat duduk, ruang latihan, Mediatheque FINAS, Museum of Moving Image serta Film Vault yang menyimpan 81,770 bahan arkib audiovisual negara.

Pembukaan Menara FINAS berlangsung dalam suasana Bulan Kebangsaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

Pembangunan infrastruktur itu turut dilihat penting ketika industri kandungan tempatan berdepan perubahan pesat akibat pertumbuhan platform penstriman, media sosial dan teknologi digital.

Kerajaan pada masa sama mahu industri kreatif terus berkembang sebagai sektor ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan berkualiti, memperluas peluang kepada penggiat industri dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah, tokoh seni, budaya dan media Johan Jaaffar, Pengerusi FINAS Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Azmir Saifuddin Mutalib serta penggiat industri.

Berita berkaitan
Menara FINAS buka era baharu industri filem: Fahmi
2 jam lalu· Isu semasa
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
August 22, 2026· Isu semasa
Sultan Brunei kurnia Darjah Kerabat kepada Anwar
August 22, 2026· Isu semasa
PAS jangan sibuk isu Taiwan, bahas Tabung Haji dulu: AMK
August 22, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang RM21.1 juta Aman Palestin
1 jam lalu · Isu semasa
Ashwad, Ziana Zain terima gelaran Datuk Melaka
2 jam lalu · Isu semasa
Ringgit terus mengukuh, data ekonomi jadi pemangkin
6 jam lalu · Isu semasa
JMF buat penampilan sulung, meriahkan Hari Kebangsaan: Fahmi
6 jam lalu · Isu semasa
Lapan termasuk pempengaruh direman kes tutup lebuh raya untuk lumba haram
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok