Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerajaan tidak membenarkan ahli politik mencampuri keputusan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memastikan dana diurus secara profesional, telus dan tidak digunakan untuk kepentingan pihak tertentu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pemilihan projek dan penetapan keutamaan pelaburan mesti dibuat oleh badan profesional yang mempunyai kepakaran berkaitan, tanpa dipengaruhi kepentingan politik.
“Kita melarang sama sekali campur tangan mana-mana tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaan pelaburan. Penentuan projek mesti dibuat oleh badan pelaburan yang dianggotai golongan profesional dengan kepakaran tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Syed Saddiq meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mempercepat pelaksanaan komitmen pelaburan langsung domestik GLIC berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028.
Beliau turut membangkitkan keperluan memastikan dana berkenaan tidak digunakan untuk menyelamatkan syarikat tertentu, termasuk mengambil iktibar daripada pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Sapura Energy.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan pelaburan GLIC bagi mencapai sasaran berkenaan masih mengikut jadual, dengan sebahagian pelaburan dijangka direalisasikan menjelang akhir tahun ini dan tahun hadapan.
Menurutnya, tahun pertama pelaksanaan memberi tumpuan kepada perancangan, kajian dan penelitian sebelum keputusan pelaburan dibuat berdasarkan pengalaman lalu.
Beliau berkata, langkah penelitian itu penting bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat secara berhemah serta mengambil kira kepentingan dana yang diamanahkan kepada institusi berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan prinsip tadbir urus yang baik perlu diperkukuh, khususnya dalam institusi yang membawa mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam.
Katanya, status sesebuah institusi sebagai wakil kepentingan Bumiputera atau umat Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan ketelusan, akauntabiliti dan tanggungjawab dalam pengurusan.
Sehubungan itu, beliau bersetuju supaya peraturan diperketat menerusi cadangan undang-undang berkaitan entiti milik kerajaan bagi memastikan pengurusan dana dan pelaburan dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Langkah berkenaan penting bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan institusi pelaburan kerajaan terus berfungsi berdasarkan pertimbangan profesional, bukannya tekanan politik.
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum