Anwar: Jadikan ajaran Rasulullah panduan hidup

August 25, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu sambutan Maulidur Rasul diterjemahkan kepada penghayatan nilai kehidupan Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar tertumpu kepada perarakan dan acara sambutan.

Beliau berkata, Maulidur Rasul perlu menjadi ruang untuk menyuntik kesedaran, semangat baharu dan pencerahan dalam kalangan umat Islam supaya ajaran Rasulullah SAW dapat diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Dalam konteks kefahaman Islam, cabarannya adalah penghayatannya. Bukan sambutannya, bukan pestanya, bukan perarakannya, tetapi apa yang digesa dalam firman Allah SWT.

“Bagi saya, sambutan begini adalah untuk menyuntik semangat baharu, bukan untuk mengekalkan kealpaan lama. Setiap episod hidup Rasulullah SAW itu satu pengajaran kehidupan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448/2026 di sini, hari ini.

Anwar berkata, cabaran umat Islam masa kini adalah memastikan nilai Islam benar-benar menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, bukan hanya dalam kalangan umat Islam tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

Menurutnya, konsep rahmatan lil ‘alamin perlu diterjemahkan melalui pembinaan masyarakat yang berpegang kepada nilai, prinsip dan idealisme, selain sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan.

Beliau berkata masyarakat yang dibentuk berdasarkan ajaran Rasulullah SAW perlu memiliki nilai jelas seperti menyenangi kebaikan, menghormati orang lain, menjunjung keadilan serta menolak kemungkaran, rasuah, penyelewengan, keangkuhan, penindasan dan perkauman sempit.

“Bagaimana kita boleh hidupkan masyarakat Melayu, masyarakat Islam di Malaysia ini, yang boleh dibina atas prinsip diterapkan Nabi Muhammad SAW menjadi masyarakat istimewa, bersifat menyeluruh, tetapi ada kelainannya, ada ciri luar biasa, yang bergerak mendorong ke arah kecemerlangan.

“Ini ujian dan cabaran tatkala kita menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW. Bukan pesta, bukan perarakan, bukan sambutan biasa, tetapi mendorong ke arah penghayatan lebih bermakna,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut menggesa pendekatan dakwah masa kini diperbaiki supaya mesej Islam disampaikan dengan cara lebih dekat dan mudah diterima masyarakat.

Katanya, terdapat keadaan apabila pendekatan dakwah menyebabkan sebahagian masyarakat berasa takut atau kurang tertarik kepada Islam, sedangkan Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam menyampaikan ajaran agama.

“Bayangkan dakwah kita dan pergerakan kita sekarang, orang lebih takut dan tidak tertarik dengan Islam, berbeza dengan apa yang kita sebut tadi. Kita sebut Rasulullah SAW itu contoh terbaik.

“Ini teguran kepada kita masing-masing. Bagaimana boleh kita perbaiki?” katanya.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini menjadi antara wadah penting untuk memperkukuh penghayatan nilai Islam dalam kehidupan masyarakat, selaras dengan tuntutan menjadikan ajaran Rasulullah SAW sebagai panduan membina masyarakat yang adil, berakhlak dan progresif.

Berita berkaitan
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
October 28, 2026· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
24 jam lalu· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
October 26, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
October 28, 2026 · Isu semasa
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
October 28, 2026 · Isu semasa
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
1 jam lalu · Isu semasa
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
1 jam lalu · Isu semasa
Op Viking: Polis sita aset RM409 juta berkait mafia korporat, 70 individu dipanggil
1 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok