Ketua AMK, Muhammad Kamil Ahmad Munim.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengenai tawaran bantuan Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata percanggahan antara dakwaan Abdul Hadi dan penafian Kedutaan AS menjadikan perkara itu serius serta perlu disiasat bagi menentukan pihak yang bercakap benar.
“Satu pihak berkemungkinan berbohong dan ini harus disiasat oleh pihak berkuasa.
“Apabila pendedahan ini dibuat, kita desak pihak berkuasa memulakan siasatan untuk melihat semula sama ada benar dakwaan yang dibangkitkan,” katanya selepas menyempurnakan penutupan Majlis Adat Istiadat Khatam Keris Peringkat Kebangsaan, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK), di tapak perkhemahan Teluk Batik, hari ini.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, sekiranya dakwaan itu benar, tindakan segera perlu diambil kerana ia membabitkan dakwaan campur tangan kuasa asing dalam politik serta usaha menggugat sistem demokrasi berparlimen negara.
“Kalau benar, maka harus ada tindakan segera diambil kerana kita tidak boleh izinkan mana-mana pihak yang cuba menggunakan kuasa luar secara langsung untuk meruntuhkan sistem.
“Cubaan untuk meruntuhkan kerajaan adalah satu kesalahan serius yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Dakwaan itu timbul selepas Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu semalam mendakwa wakil AS pernah menawarkan bantuan kepada PAS bagi menjatuhkan kerajaan BN.
Menurut Abdul Hadi, tawaran itu dibuat ketika lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia dan beberapa pemimpin PAS dijemput menghadiri satu majlis di Kedutaan AS.
Perkara itu didakwa berlaku ketika PAS masih bersama Pakatan Rakyat, iaitu antara April 2008 hingga Jun 2015.
Bagaimanapun, Ketua Misi Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H Gamble Jr, hari ini menafikan dakwaan berkenaan menerusi kenyataan di media sosial.
Percanggahan terbabit kini mencetuskan desakan supaya dakwaan itu disemak dan disiasat bagi menentukan fakta sebenar di sebalik dakwaan campur tangan AS dalam politik Malaysia.
Rosmah gagal penuhi syarat, Global Royalty teruskan tuntutan RM67.5 juta: Laporan
PRN Melaka: MIPP tarik diri, rundingan kerusi dengan PN gagal
DUN Negeri Sembilan berisiko terbubar Februari depan jika tiada sidang
Calon MCA belum terima watikah BN, isu kerusi belum selesai?
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum