Semoga anak didik dapat belajar cara diplomasi diterjemahkan, sindir PMX

17 jam lalu · Politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membalas sindiran timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi dengan menggunakan semula kiasan ‘guru dan anak didik’ ketika tiba di New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

Dalam hantaran di Threads, Anwar menyifatkan dirinya sebagai ‘guru’, dipercayai merujuk kepada ucapan dasar Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 semalam.

“Alhamdulillah guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari guru cara diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy,” katanya.

Ungkapan itu dipercayai merujuk kepada sindiran Zahid yang menggunakan istilah ‘guru’ ketika mengkritik pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar.

Dalam ucapan dasarnya, Zahid mengulangi ungkapan popular di media sosial, “guru, hentikan guru”, sebelum meminta Anwar mendengar suara UMNO dan rakyat.

“Cukup, cukuplah guru! Dengarlah suara kami, guru! Dengarlah suara rakyat, wahai guru! Cukup, cukuplah! Insya-Allah kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat,” katanya.

Zahid turut mempersoalkan perubahan dasar ekonomi yang menurutnya boleh menimbulkan ketidakpastian dan kekeliruan, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana.

Beliau memberi gambaran seorang bapa berpendapatan RM5,000 yang perlu menanggung sewa rumah, pendidikan anak dan kos perubatan, selain berdepan perubahan kuota subsidi petrol menerusi Budi MADANI.

“Tetapi bila kerajaan takut kehilangan sokongan rakyat, naik lagi kuota Budi. Mungkin selepas itu tarik balik. Kemudian, apabila dekat pilihan raya, naik balik.

“Siapa yang buat ini? Guru,” katanya yang disambut ketawa perwakilan dan tetamu.

Walaupun tidak menyebut nama Anwar, penggunaan istilah ‘guru’ dan ‘anak didik’ dilihat sebagai sindiran terhadap hubungan politik kedua-dua pemimpin yang turut dikaitkan dengan rakaman perbualan telefon yang tersebar pada 2021.

Zahid dalam ucapan sama turut mengkritik penggunaan istilah ‘Kerajaan MADANI’, dengan mempersoalkan perubahan daripada konsep kerajaan perpaduan yang dipersetujui parti-parti pembentuk kerajaan.

“Telah dipersetujui kerajaan harus dipanggil kerajaan perpaduan. Tetapi akhirnya, perpaduan nasional ini ditukar kepada Kerajaan MADANI, yang datangnya entah dari mana,” katanya.

Anwar kini berada di India untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18, dengan agenda termasuk memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara anggota serta rakan strategik blok ekonomi berkenaan.

Berita berkaitan
Syarat UMNO: Adakah PAS sanggup cerai Wawasan sama seperti Bersatu?
2 jam lalu· Politik
Selagi ada majoriti, tak perlu layan desakan PRU awal
2 jam lalu· Politik
UMNO jangan satu kaki kerajaan, satu kaki pembangkang: AMK
2 jam lalu· Politik
Selepas berdegar-degar, Zahid umum UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan
6 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Zahid : Jangan cabar UMNO keluar Kerajaan Perpaduan
9 jam lalu · Politik
UMNO jangan bergantung parti lain, bina kekuatan sendiri : Mohamad
9 jam lalu · Politik
PKR tolak PRU-16 awal, tunggu sehingga habis penggal: Saifuddin Nasution
12 jam lalu · Politik
Rata-rata perwakilan UMNO cenderung berunding dengan PAS sahaja: Asyraf Wajdi
13 jam lalu · Politik
PH Melaka sedia bertanding, tak takut BN Plus
14 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok