Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
UMNO tidak wajar mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim lemah atau gagal kerana parti itu sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan, kata Faiz Fadzil.
Setiausaha Agung Amanah itu berkata kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa partinya “mampu melakukan lebih baik” ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 hanya memperlihatkan kegagalan parti itu membantu pentadbiran kerajaan.
“Kalau dia nak kata kerajaan Anwar ini gagal, maksudnya beliau pun gagal membantu. Beliau juga gagal sebagai sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.
Menurut Faiz, prestasi kerajaan perlu dinilai secara kolektif kerana pentadbiran ketika ini dibentuk menerusi gabungan beberapa parti, termasuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata beberapa indikator ekonomi dan tadbir urus seperti pelaburan langsung asing, prestasi ringgit, pertumbuhan ekonomi serta Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan pencapaian kerajaan Anwar lebih baik berbanding beberapa pentadbiran terdahulu.
“Boleh cakap apa saja, tetapi data tidak menipu,” katanya.
Faiz turut mengambil contoh penyelesaian tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) bernilai RM19 bilion yang dilaksanakan kerajaan PH.
Menurutnya, GST diperkenalkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun kerajaan PH kemudian menyelesaikan tuntutan bayaran balik berkenaan selepas mengambil alih pentadbiran.
“Kerajaan PH langsaikan hutang dan bayar balik tuntutan GST RM19 bilion. Jadi, di mana kita nak katakan dasar kerajaan lepas itu lebih baik daripada sekarang?” soalnya.
Dalam pada itu, Faiz mengingatkan UMNO supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan sekiranya benar-benar mahu memastikan kestabilan politik dikekalkan sehingga tamat penggal.
Beliau pada masa sama berkata PH perlu bersedia menghadapi kemungkinan tidak meneruskan kerjasama dengan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, keputusan dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini perlu dijadikan isyarat untuk PH memperkukuh jentera sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerjasama dengan parti lain.
“Keputusan dua PRN sebagai ‘wake-up call’ supaya PH memperkukuh jentera sendiri dan tidak boleh bergantung kepada kerjasama dengan pihak lain,” katanya.
Sebelum ini, dalam ucapan dasar Presiden pada PAU, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri secara terbuka memberi isyarat supaya UMNO diberi ruang lebih besar dalam menentukan hala tuju kerajaan, termasuk menerusi ungkapan “cukup-cukuplah” dan “bagi peluang kami pula”.
Kenyataan itu mencetuskan perbahasan mengenai kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan serta hala tuju kerjasama antara PH dan BN menjelang PRU akan datang.
Zahid : Jangan cabar UMNO keluar Kerajaan Perpaduan
UMNO jangan bergantung parti lain, bina kekuatan sendiri : Mohamad
PKR tolak PRU-16 awal, tunggu sehingga habis penggal: Saifuddin Nasution
Rata-rata perwakilan UMNO cenderung berunding dengan PAS sahaja: Asyraf Wajdi
PH Melaka sedia bertanding, tak takut BN Plus
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum