Kerjasama UMNO-PAS.
UMNO Terengganu mengingatkan kepemimpinan parti supaya tidak mengorbankan kepentingan negeri itu sekiranya rundingan kerjasama dengan PAS diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sebarang persefahaman termasuk pengagihan kerusi perlu mengambil kira kepentingan kedua-dua parti dan tidak hanya memberi kelebihan kepada satu pihak.
Beliau berkata, UMNO Terengganu kini sedang menyusun kekuatan serta mempergiat khidmat kepada rakyat sebagai usaha mengembalikan pengaruh parti itu di negeri berkenaan.
Menurutnya, beliau menyokong gagasan Kolaborasi Agung yang diperkenalkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, termasuk pelaksanaannya pada PRN Negeri Sembilan dan kemungkinan diperluaskan ke Melaka.
Namun, katanya, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara berhati-hati apabila membabitkan Terengganu, terutama dalam rundingan kerusi.
“Bila berunding dengan pihak yang satu lagi, berhati-hati dan kena fikirkan juga kami. Jangan mengejar untung semata-mata, biar bersama mendapat berkat.
“Berkira-kira juga, nanti balik-balik 40-0 pula. Jadi, berkira biar matang, berunding biar tenang. Jangan seorang saja menang, biar bersama-sama senang,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Razif turut memberi peringatan supaya sebarang bentuk persefahaman tidak menyebabkan UMNO Terengganu kehilangan ruang untuk bertanding dan membina semula kekuatan politiknya.
“Sefaham-faham juga, tetapi jangan tergadai habis, telanjang sampai berbogel kami di Terengganu ini,” katanya.
Isu pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS menjadi perhatian susulan usaha membentuk kerjasama lebih luas antara parti Melayu itu menjelang pilihan raya akan datang.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, dilaporkan berkata PAS tidak akan menyerahkan kerusi yang dikenal pasti berpotensi dimenanginya kepada mana-mana parti bagi menghadapi PRU16.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata UMNO perlu bersedia dengan lebih daripada sekadar strategi pilihan raya dan pemilihan calon sekiranya mahu kembali menerajui kerajaan.
Katanya, parti perlu mempunyai penyelesaian jelas terhadap masalah rakyat serta dasar yang mampu diuji dan dilaksanakan.
“Kita mesti mempunyai keupayaan untuk berhujah dengan dasar yang boleh diuji sebelum ia dilaksanakan.
“Jika kita mahu menjadi organisasi yang bersedia memerintah, kita perlu membina satu keupayaan yang selama ini kurang diberikan perhatian, iaitu keupayaan menghasilkan dasar,” katanya.
Zahid : Jangan cabar UMNO keluar Kerajaan Perpaduan
UMNO jangan bergantung parti lain, bina kekuatan sendiri : Mohamad
PKR tolak PRU-16 awal, tunggu sehingga habis penggal: Saifuddin Nasution
Rata-rata perwakilan UMNO cenderung berunding dengan PAS sahaja: Asyraf Wajdi
PH Melaka sedia bertanding, tak takut BN Plus
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum