Syed Hussain Syed Husman.
Sebarang cadangan menaikkan gaji minimum perlu dinilai secara teliti dengan mengambil kira pertumbuhan produktiviti, daya saing perniagaan, kos operasi serta kemampuan majikan mengekalkan pekerjaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman berkata, peningkatan gaji pekerja sememangnya perlu diberi perhatian, namun pelaksanaannya mesti mengambil kira kemampuan sebenar majikan menanggung peningkatan kos buruh.
Menurutnya, kenaikan gaji minimum bukan sekadar menambah jumlah gaji yang diterima pekerja, malah turut meningkatkan keseluruhan kos penggajian yang perlu ditanggung majikan.
“MEF menyokong peningkatan gaji, tetapi kenaikan itu mesti mampan. Kita tidak boleh menaikkan gaji tanpa melihat produktiviti, daya saing dan kemampuan perniagaan menanggung kos tambahan.
“Matlamatnya adalah untuk membolehkan pekerja menerima gaji lebih baik tanpa melemahkan perniagaan yang menyediakan pekerjaan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Syed Hussain berkata, kerajaan juga perlu berhati-hati sekiranya pelarasan baharu menyebabkan peningkatan ketara berbanding kadar gaji minimum semasa RM1,700.
Katanya, cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM1,900 bersamaan peningkatan kira-kira 11.8 peratus, manakala RM2,000 pula melibatkan kenaikan sekitar 17.6 peratus.
“Kenaikan kadar gaji minimum melebihi 10 hingga 12 peratus memerlukan pertimbangan yang sangat serius.
“Bagi PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan semakin mengecil serta menghadapi kos operasi yang meningkat, satu lagi kenaikan gaji yang ketara boleh memberi tekanan besar terhadap kemampuan mereka mengekalkan pekerja,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar PMKS beroperasi dengan margin keuntungan kurang daripada 10 peratus, selain berdepan peningkatan kos operasi yang memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan syarikat.
Dalam masa sama, katanya, syarikat kecil turut berdepan masalah aliran tunai apabila bayaran daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengalami kelewatan.
“Ini merupakan cabaran sebenar yang dihadapi di lapangan dan mesti diambil kira sebelum menentukan kadar gaji yang mungkin dilaksanakan secara seragam terhadap semua perniagaan.
“Sebelum memutuskan satu kadar yang sesuai untuk semua, kerajaan perlu mendengar dengan teliti maklum balas pihak perniagaan, khususnya PMKS dan sektor yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil,” katanya.
Beliau menegaskan kemampuan majikan menanggung kos buruh lebih tinggi berbeza mengikut jenis perniagaan, sektor dan wilayah.
Perkara itu perlu diberi perhatian dalam proses semakan gaji minimum supaya sebarang pelarasan tidak memberi tekanan berlebihan kepada perniagaan sehingga menjejaskan peluang pekerjaan.
Kadar gaji minimum RM1,700 mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 bagi majikan yang menggaji lima pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional tertentu, sebelum diperluaskan kepada semua majikan mulai 1 Ogos 2025.
29 kawasan catat IPU tidak sihat, Selangor paling terjejas
KPMG cadang SST lebih mesra perniagaan: Bernama
40,000 unit dalam 20 bulan, Proton e.MAS terus berkembang
Dr Mahathir masuk IJN untuk pemantauan: Bernama
Skandal pindah milik tanah: Bekas Pengarah Besar FELDA didakwa tipu Lembaga Pengarah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum