Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Dasar kenaikan gaji minimum tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian sebaliknya perlu bergerak seiring bantuan bersasar, rasionalisasi subsidi dan perlindungan kesihatan mampu milik bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata pendekatan menyeluruh itu penting supaya peningkatan pendapatan pekerja benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan isi rumah, terutama ketika berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, kerajaan merangka beberapa inisiatif secara saling melengkapi termasuk kenaikan gaji minimum, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), rasionalisasi subsidi bahan api RON95 serta pengenalan skim insurans dan takaful perubatan mampu milik MediAsas.
Menerusi perkongsian di LinkedIn susulan penjelasannya dalam sebuah podcast kewangan, beliau berkata tiada satu pun dasar berkenaan boleh dianggap sebagai pencapaian tersendiri.
“Tiada satu pun daripada langkah ini merupakan kejayaan yang berdiri sendiri. Setiap satunya berperanan sebagai pengimbang kepada perkara lain,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2027, kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, sekali gus memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Pada masa sama, bantuan SARA diperluas kepada hampir 13 juta rakyat termasuk golongan M40, manakala peruntukan keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA akan ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027.
Bantuan bulanan SARA turut dinaikkan kepada RM150 atau RM1,800 setahun bagi membantu penerima menghadapi peningkatan perbelanjaan harian.
Setakat 22 Oktober lalu, kerajaan telah menyalurkan RM3.6 bilion STR menerusi tiga fasa pembayaran, manakala jumlah keseluruhan bantuan STR dan SARA yang disalurkan kepada penerima layak hampir RM12 bilion.
Selain bantuan pendapatan, kerajaan turut merancang memperkenalkan MediAsas pada akhir Januari 2027 sebagai pilihan perlindungan insurans perubatan dan takaful pada kadar mampu milik.
Sebanyak RM200 juta juga diperuntukkan bagi memperkukuh program rawatan pesakit secara penyumberan luar bagi mengurangkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan.
Amir Hamzah berkata, kerajaan pada asasnya perlu mengimbangi dua matlamat utama iaitu membina ekonomi yang mampan serta memastikan perpaduan sosial terus terpelihara.
Beliau berkata keputusan berkaitan subsidi, disiplin fiskal dan kecukupan hasil kerajaan tidak boleh terus ditangguhkan kerana tindakan itu hanya akan memindahkan beban kewangan kepada generasi akan datang.
“Setiap kali kita mengelak daripada membuat keputusan sukar berkaitan subsidi, disiplin fiskal dan kecukupan perolehan, kita sebenarnya membebankan masa depan anak-anak kita. Saya tidak sanggup berbuat demikian,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan jurang pendapatan yang semakin melebar boleh mencetuskan masalah sosial lebih serius sekiranya tidak ditangani.
“Jika jurang antara golongan berpendapatan tertinggi dengan golongan berpendapatan terendah terus melebar, kita bukan sekadar berdepan masalah ekonomi, malah sedang mewujudkan masalah sosial,” katanya.
Beliau menyifatkan pengurusan ekonomi seperti memimpin sebuah orkestra yang memerlukan setiap dasar dilaksanakan pada masa dan kadar bersesuaian.
Justeru, katanya, keberkesanan sesuatu dasar kerajaan perlu dinilai berdasarkan bagaimana ia saling melengkapi dalam memastikan kestabilan ekonomi dan melindungi rakyat, bukan hanya berdasarkan kesan segera kepada individu.
Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 merupakan antara langkah kerajaan dalam Belanjawan 2027 bagi meningkatkan pendapatan pekerja.
Namun, pelaksanaannya turut bergantung kepada keseimbangan antara kemampuan majikan, produktiviti ekonomi dan keperluan isi rumah menghadapi kos sara hidup.
MCMC uji internet di 16 stesen ECRL, liputan terowong turut dipantau
Anwar: Kestabilan politik yakinkan Google labur RM61 bilion
Daiso labur RM1.2 bilion, bina hab pengedaran terbesar dunia di Malaysia: PMX
Kenderaan rosak akibat RON95, Petron dan Caltex tawar pampasan: Armizan
NUJ mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum