Najib Razak.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Najib Razak untuk dibawa keluar dari penjara bagi menghadiri prosiding berkaitan usaha menghidupkan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.
Keputusan itu membolehkan Najib menghadiri pendengaran permohonan kebenaran merayu yang dijadualkan pada 26 November ini, berhubung saman yang difailkannya terhadap Thomas atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Hashim Hamzah, membenarkan permohonan berkenaan selepas peguam Najib, S Bala Ravi, memohon supaya perintah mengemukakan (OTP) dikeluarkan bagi membolehkan anak guamnya hadir ke mahkamah.
Permohonan itu turut merangkumi kehadiran Najib sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan substantif diteruskan.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Azmi Ariffin.
Najib, 73, memfailkan notis usul pada 10 Februari lalu bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan samannya terhadap Thomas.
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan saman berkenaan difailkan terlalu awal, ketika prosiding jenayah yang menjadi asas tuntutan itu belum bermula.
Sebelum itu, pada 25 November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman berkenaan tanpa melalui perbicaraan penuh.
Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober 2021 dengan mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasa dan bertindak dengan niat jahat apabila mendakwa beliau dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Antara pertuduhan yang dipersoalkan ialah salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Melalui saman itu, Najib memohon deklarasi mahkamah berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam terhadap Thomas, selain menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta.
Jumlah berkenaan didakwa merangkumi kos melantik pasukan audit bagi menyemak dokumen dan menyediakan pembelaan untuk prosiding jenayah yang dihadapinya.
Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.
Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan kebenaran merayu pada 26 November ini akan menentukan sama ada Najib boleh meneruskan cabarannya terhadap keputusan yang membatalkan saman tersebut.
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum