Perikatan Nasional.
Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas gagal mencapai persetujuan dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung pembahagian kerusi.
Presidennya, P Punithan, berkata MIPP tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan parti semata-mata untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.
Beliau menegaskan maruah parti dan kepentingan masyarakat India perlu diutamakan berbanding mengejar peluang bertanding tanpa pengiktirafan sewajarnya dalam gabungan.
“Kerusi boleh dicari, tetapi maruah perjuangan kita tidak boleh sesekali dikorbankan.
“Bagi MIPP, maruah dan prinsip lebih penting daripada mengejar kerusi tidak relevan. Kami tidak akan mengorbankan prinsip demi kepentingan politik semata-mata,” katanya menurut laporan dipetik FMT.
Punithan berkata, MIPP mahu suara serta kepentingan masyarakat India diberikan pengiktirafan dan ruang sewajarnya dalam landskap politik negara.
Menurutnya, kerjasama politik yang kukuh perlu berasaskan kepercayaan, sikap saling menghormati dan keterangkuman antara parti komponen.
Beliau turut menegaskan MIPP bukan parti yang sanggup berkompromi dengan prinsip perjuangannya hanya untuk membolehkan wakil parti bertanding dalam pilihan raya.
Keputusan itu menyusul rundingan pembahagian kerusi dalam PN menjelang PRN Melaka yang masih menjadi perhatian selepas berminggu-minggu timbul spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini dilaporkan berkata BN akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, manakala PAS dan sekutunya akan bertanding di baki tujuh kerusi.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata pembahagian kerusi belum dimuktamadkan, meskipun kerjasama antara gabungan berkenaan akan diteruskan.
MIPP sebelum ini membuat penampilan sulung dalam PRN Johor tahun ini, namun kelima-lima calonnya gagal memenangi kerusi yang ditandingi dan kehilangan wang deposit.
Dalam PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan PN menang dua kerusi.
Penamaan calon PRN Melaka dijadualkan berlangsung Sabtu ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.
Rosmah gagal penuhi syarat, Global Royalty teruskan tuntutan RM67.5 juta: Laporan
Calon MCA belum terima watikah BN, isu kerusi belum selesai?
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
Lima tahun dibicarakan, pendakwaan tutup kes terowong Guan Eng
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum