PRN Melaka: PH persoal rekod BN, isu rakyat belum selesai

4 jam lalu · Politik

Banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan kemudahan awam khususnya Melaka Sentral terus membelenggu rakyat, meskipun Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, berkata mandat hampir 75 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat, terutama berkaitan perumahan, kebajikan dan peluang pekerjaan.

Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil berkata, BN perlu menjelaskan pencapaian pentadbirannya sepanjang diberikan mandat besar, bukannya kembali meminta kepercayaan pengundi tanpa menjawab keluhan yang masih dibangkitkan masyarakat.

“BN juga perlu menjelaskan apakah yang sudah diselesaikan dan mengapa keluhan ini masih dibangkitkan, terutamanya dalam persoalan yang terkait khusus kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar harian PH di Bilik Gerakan Utama PH, Kompleks Perniagaan Musai Jaya, hari ini.

Beliau berkata, maklum balas daripada 24 calon PH selepas hari pertama kempen menunjukkan rakyat masih berdepan kesukaran memiliki rumah, mendapatkan bantuan kebajikan dan memperoleh pekerjaan dengan gaji setimpal.

Menurutnya, peniaga kecil turut menyuarakan tekanan akibat kadar sewa premis dan kekangan modal, manakala penduduk membangkitkan masalah banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan serta penyelenggaraan kemudahan awam.

Mengulas isu Melaka Sentral, beliau berkata, projek berkenaan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, selain beberapa lokasi pelancongan yang memerlukan perhatian dan tindakan kerajaan negeri.

“Papan tanda boleh bertukar dan slogan boleh diperbaharui tetapi mutu perkhidmatan mesti membuktikan hasil yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dalam persaingan di DUN Bukit Katil, Adly berdepan pertembungan empat penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif; calon Bebas, Abu Bakar Sabudin; dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Aliza Che Amran.

Pada PRN 2021, Adly mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua dengan majoriti 1,057 undi.

PH turut dijangka menggunakan isu kehidupan rakyat dan mutu penyampaian perkhidmatan sebagai antara fokus kempen untuk mencabar kedudukan BN yang mendominasi DUN Melaka selepas pilihan raya lalu.

Adly berkata, manifesto PH yang dikenali sebagai Aspirasi Pakatan Harapan akan dilancarkan dalam masa terdekat, dengan tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik, peningkatan pendapatan, sokongan kepada usahawan kecil dan kebajikan pelajar.

Katanya, tawaran itu akan diperincikan supaya rakyat dapat menilai komitmen PH serta keupayaannya melaksanakan penyelesaian terhadap masalah yang dibangkitkan.

Berita berkaitan
BN-PN bergabung, DAP perlu bersedia hadapi cabaran besar: Loke
2 jam lalu· Politik
Najib kekal di penjara selagi denda RM50 juta belum dibayar: AG
2 jam lalu· Politik
Tok Man bawa pengalaman Putrajaya ke Paya Rumput
3 jam lalu· Rencana
PRN Melaka: Elak isu 3R, semua parti dinasihati kempen secara sihat
3 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Isu KKDW terlebih belanja RM2.1 bilion: AMK Selangor persoal penjelasan SUA Zahid
November 1, 2026 · Politik
Putrajaya lulus hampir semua projek pembangunan Kelantan: Menteri Besar
3 jam lalu · Politik
Kos sara hidup, rumah mampu milik jadi fokus manifesto PH Melaka
4 jam lalu · Politik
Ibu sokong BN, anak bertanding tiket PH: Kasih sayang tetap utuh
16 jam lalu · Politik
PRN Melaka: PKR pertaruh Ketua AMK di Ayer Molek
October 31, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
2 jam lalu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok