Johari Abdul Ghani.
Kebergantungan industri terhadap pekerja asing yang semakin kritikal perlu ditangani segera bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan, khususnya dalam sektor yang tidak memerlukan kepakaran khusus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani, berkata pengambilan pekerja asing perlu dihadkan kepada pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor (3D), manakala syarikat perlu mengubah pendekatan dengan mengutamakan tenaga kerja tempatan.
Beliau berkata, Malaysia menyasarkan komposisi tenaga kerja sebanyak 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing, namun keadaan semasa masih jauh daripada sasaran berkenaan.
“Masalah ini sangat kritikal untuk kita uruskan. Kebanyakan syarikat yang beroperasi di Malaysia selama 10 hingga 20 tahun sudah terbiasa bergantung kepada pekerja asing.
“Sekarang, negara mempunyai 2.6 juta pekerja asing dan jika mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memang kita sepatutnya menurunkan jumlah ini tetapi tidak turun,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai kesediaan kerajaan menetapkan dasar pengambilan pekerja asing mengikut keperluan industri dan perusahaan.
Johari berkata, kegagalan menangani isu itu boleh memberikan kesan buruk kepada negara dalam jangka panjang, lebih-lebih lagi jumlah 2.6 juta itu belum termasuk pekerja asing tanpa izin.
Menurutnya, Malaysia mempunyai kira-kira 400,000 lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berpotensi memenuhi keperluan tenaga kerja tempatan.
Bagaimanapun, beliau mendapati masih terdapat syarikat yang hanya menawarkan gaji kepada lepasan TVET pada kadar setara dengan pekerja asing, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai usaha meningkatkan daya tarikan pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Kalau nak pakai pekerja asing, boleh tetapi dengan syarat ia hanya untuk pekerjaan 3D,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata kerajaan tidak akan memindahkan keluar industri pembuatan yang kurang berorientasikan teknologi tinggi secara terburu-buru.
Sebaliknya, kerajaan akan menumpukan usaha menaik taraf industri sedia ada melalui penggunaan teknologi, automasi dan pendigitalan, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Beliau berkata industri yang terlalu bergantung kepada buruh kasar, proses manual dan pekerja berkemahiran rendah perlu menjalani transformasi bagi meningkatkan produktiviti serta nilai tambah.
Kerajaan turut menyediakan geran, dana dan insentif cukai bagi menggalakkan syarikat menggunakan teknologi pintar dan automasi. Pada masa sama, kriteria pelesenan baharu akan memberi perhatian kepada pelaburan yang tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.
Menyentuh pencapaian NIMP 2030, Johari berkata nilai tambah sektor pembuatan negara kini mencecah RM399 bilion berbanding sasaran RM587.5 bilion menjelang 2030.
Peluang pekerjaan dalam sektor itu pula berjumlah 2.8 juta berbanding sasaran 3.3 juta, manakala purata gaji bulanan direkodkan sebanyak RM2,775 berbanding sasaran RM4,510.
Kerajaan menyasarkan pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sektor berkenaan sekitar 6.5 peratus.
Ringgit dibuka tinggi didorong jangkaan normalisasi OPR: Bernama
Dana Inovasi Media bantu industri hadapi era AI, lindungi pekerja
Derma palsu guna visual AI, orang ramai diminta berwaspada
Utusan Malaysia, Kosmo! rombak operasi, hampir 100 pekerja bercuti berbayar
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum