Harris Idaham Rashid.
Armada Bersatu menegur Ketua Penerangan Parti Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya tidak terlalu ke hadapan dalam memperjuangkan isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, Wan Ahmad Fayhsal dilihat seolah-olah berubah pendirian daripada seorang pengkritik tegar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada individu yang lantang memperjuangkan isu tahanan rumah Najib.
Menurutnya, rekod dan pendirian Wan Ahmad Fayhsal ketika membongkar skandal 1MDB sebelum ini tidak sepatutnya diketepikan hanya kerana pertimbangan politik semasa.
Beliau berkata, bekas Ketua Pemuda Bersatu itu pernah menghasilkan kupasan terperinci mengenai struktur hutang 1MDB, isu bon Goldman Sachs serta peranan syarikat luar pesisir yang didakwa digunakan untuk menyeleweng dana rakyat.
“Kupasan-kupasan bertulis beliau yang secara khusus membongkar struktur hutang 1MDB, isu bon Goldman Sachs dan peranan ‘shell companies’ adalah manifestasi idealisme anak muda yang tidak sepatutnya dicairkan, diubah hala atau dikompromikan demi sebarang perkiraan politik jangka pendek,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Harris mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya tidak menjadi lebih ke hadapan daripada UMNO sendiri dalam memperjuangkan agenda membabitkan Najib.
Bagaimanapun, beliau menegaskan teguran itu tidak bermaksud Pemuda Bersatu mempertikaikan kuasa mutlak institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya keputusan Lembaga Pengampunan perlu dihormati dan dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang yang sah.
Teguran itu menyusul selepas Wawasan mendesak kerajaan menjelaskan pihak yang bertanggungjawab mengarahkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini mempersoalkan siapa yang mengarahkan Ketua Pengarah Penjara menghentikan proses pemindahan Najib serta asas perundangan yang membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan perintah pengampunan.
Beliau turut mahu penjelasan sama ada Perdana Menteri atau mana-mana menteri terlibat atau dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan.
Kontroversi itu semakin memuncak selepas UMNO mengumumkan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib menerusi kutipan dana sumbangan. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengeluarkan perintah pelepasan selepas bayaran direkodkan.
Bagaimanapun, AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah perlu ditangguhkan sementara bagi meneliti persoalan perundangan berkaitan perintah pengampunan dan kesan perintah mahkamah.
Istana Negara pula menegaskan semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi dan tidak sepatutnya timbul kekeliruan berpanjangan mengenai pelaksanaannya.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut meminta Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menjelaskan isu berkenaan.
Untuk rekod, Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Hukuman asal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu dikurangkan separuh menerusi pengampunan diraja pada Januari 2024.
Satu lagi pengampunan bersyarat kemudian membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan