Mohamad Sabu.
Gesaan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal, khususnya oleh pimpinan Barisan Nasional (BN), disifatkan tidak wajar kerana keputusan berhubung perkara itu terletak di bawah hak prerogatif Perdana Menteri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen berada pada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menentukan masa sesuai bagi pembubaran Parlimen mengikut pertimbangan beliau.
“Kuasa untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya pada Perdana Menteri. Justeru, gesaan untuk membubarkannya lebih awal adalah tidak wajar.
“Kuasa untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa merupakan hak prerogatif Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Himpunan Semarak Tani bersama Nelayan Melaka, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan berbanding kerajaan melakukan rombakan Kabinet dalam keadaan politik semasa.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melihat keperluan untuk rombakan Kabinet walaupun terdapat seorang menteri yang dikatakan telah menyatakan komitmen untuk meletakkan jawatan.
Beliau dipercayai merujuk kepada perkembangan membabitkan seorang pemimpin Kabinet yang dikaitkan dengan isu peletakan jawatan susulan kunjungan Najib Razak ke kediamannya bagi menjalani baki hukuman.
“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan. Itu kita berikan mandat semula kepada rakyat dan kita bentuklah kerajaan baharu selepas itu,” katanya.
Cadangan pembubaran Parlimen itu mencetuskan perhatian ketika Kerajaan Perpaduan berdepan pelbagai perkembangan politik, termasuk spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet dan kedudukan beberapa pemimpin dalam kerajaan.
Bagaimanapun, keputusan mengenai pembubaran Parlimen kekal tertakluk kepada proses perlembagaan dan pertimbangan Perdana Menteri sebelum nasihat dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan