Pejabat Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad menafikan berita pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Menteri Besar, Saarani Mohamad menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Dalam satu kenyataan hari ini, pejabat itu menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar dan tidak berasas.
“Pentadbiran negeri menafikan dakwaan tular di beberapa platform media sosial yang mendakwa Menteri Besar Perak menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak dan perkenan diberikan.
“Dakwaan itu adalah tidak benar dan tidak berasas,” menurut kenyataan itu.
Pejabat Menteri Besar turut memaklumkan pihaknya mengesan penyebaran grafik yang menyerupai paparan berita televisyen, selain laporan berita lama diterbitkan semula sehingga boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan semasa DUN Perak.
Sehubungan itu, pihak pentadbiran negeri memandang serius penyebaran maklumat palsu, terutama kandungan yang membabitkan institusi diraja dan urusan pentadbiran negeri.
“Sehubungan itu, pihak pentadbiran membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk saluran rasmi kerajaan negeri bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Dakwaan pembubaran DUN Perak itu timbul ketika perkembangan politik negeri menjadi perhatian susulan spekulasi mengenai kedudukan kerajaan negeri dan kemungkinan perubahan landskap politik.
Bagaimanapun, setakat kenyataan dikeluarkan, Pejabat Menteri Besar menegaskan tiada permohonan pembubaran DUN seperti yang didakwa tular di media sosial.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan