Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan secara rasmi memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kontroversi pantun mengandungi perkataan ‘kencing’ yang mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Permohonan maaf itu dikemukakan menerusi surat bertarikh 17 November yang diserahkan ke pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri hari ini.
Dalam surat berkenaan, Ahmad mengakui kekhilafan kata-katanya ketika sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan pantun berkenaan tidak terkandung dalam teks ucapan asal, sebaliknya disampaikan secara spontan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai isu pengurangan dan penghapusan tol.
“Saya sememangnya gemar berpantun dalam penyampaian ucapan. Pantun tersebut tidak terkandung dalam teks penggulungan dan disampaikan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
“Walau bagaimanapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata tersebut dan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan telah saya tarik balik di Parlimen,” katanya dalam surat itu.
Kontroversi tercetus pada 16 November lalu apabila Ahmad (BN-Pontian) membacakan pantun ketika menjawab celahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempersoalkan sama ada janji kerajaan yang didakwa belum ditunaikan dibuat sekadar untuk memenangi pilihan raya.
Ahmad kemudian bertanya sama ada Dewan Rakyat mahu mendengar pantun sebelum menyampaikan rangkap yang mengundang bantahan RSN Rayer (PH-Jelutong).
Rayer bangun membantah dan menyifatkan penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam pantun itu sebagai sindiran terhadap Pakatan Harapan (PH), sekali gus meminta Ahmad menarik balik perkataan berkenaan.
Insiden itu turut mencetuskan desakan beberapa Ahli Parlimen PH supaya Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri kerana didakwa tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan kerajaan pimpinan Anwar.
Bagaimanapun, Ahmad dalam surat sama menegaskan sokongan penuhnya terhadap pentadbiran Perdana Menteri sehingga tamat penggal.
“Saya tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau turut berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran dengan baik.
Sebagai tanda permohonan maaf, Ahmad turut menyampaikan pantun khusus kepada Anwar dalam surat berkenaan:
“Bunga rimbun, cantik tercipta,
Berakar umbi, menambah seri,
Maaf dipohon, saya pinta,
Kepada YAB, Perdana Menteri.”
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan