Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Selepas empat hari tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut politik Negeri Sembilan, Ismail Lasim hari ini memberi bayangan kemungkinan ada perkembangan penting berkaitan kedudukannya sebagai Menteri Besar esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, Seremban, esok.
Ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan terbaharu kemelut pentadbiran negeri itu, Ismail hanya memberikan jawapan ringkas sambil membayangkan sesuatu bakal berlaku.
“Jumpa esok, empat hari tak dapat cari saya, esok cari saya… saya okay, sihat, Alhamdulillah. Terima kasih,” katanya dipetik laporan media.
Bagaimanapun, Ismail tidak memperincikan maksud kenyataan itu atau mengesahkan sama ada beliau akan menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Zakat Negeri Sembilan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali.
Isnin lalu, Ismail, 67, dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar selepas kira-kira tiga bulan memegang jawatan itu sejak mengangkat sumpah pada 2 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Selasa menjelaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada hari sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut politik dan pentadbiran yang melanda negeri itu.
Pertemuan berkenaan berlangsung kira-kira satu jam 30 minit, bermula 5 petang hingga 6.30 petang.
Perkembangan esok dijangka menjadi tumpuan bagi menjelaskan kedudukan sebenar Ismail, termasuk status peletakan jawatannya dan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan