Ismail kekal MB Negeri Sembilan, tak hantar surat letak jawatan seperti didakwa BN

November 20, 2026 · Politik

Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim mengesahkan dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya meneruskan tugas bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.

Ismail berkata, beliau komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan, sekali gus menafikan dakwaan mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November lalu kepada baginda.

Beliau turut menegaskan tidak pernah memberikan persetujuan supaya surat berkenaan diserahkan kepada pihak istana.

“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 November lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau berkata akan terus menjalankan tugas seperti biasa dengan penuh dedikasi demi kepentingan negeri dan rakyat.

Terdahulu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh tiba di Istana Hinggap, Seremban, pada 10.17 pagi untuk menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut politik yang mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Perkembangan itu menyusul selepas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir pada 16 November mengumumkan Ismail meletakkan jawatan menerusi surat bertarikh hari sama yang ditujukan kepada Tuanku Muhriz.

Zambry ketika itu berkata Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat berkenaan dan akan mengemukakan cadangan calon pengganti kepada baginda.

Bagaimanapun, dakwaan peletakan jawatan itu dipertikaikan selepas satu laporan media pada 17 November memetik sumber yang menafikan Ismail pernah menyerahkan surat berkenaan kepada pihak istana.

Istana Negeri Sembilan pada hari sama turut memaklumkan kesahihan surat tersebut masih belum disahkan, selain menegaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Ismail sebelum ini turut menghadap Tuanku Muhriz pada 17 November, manakala laporan media pada 18 November menyebut baginda menitahkan beliau meneruskan tugas seperti biasa.

Untuk rekod, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Keputusan itu membolehkan BN dan gabungan rakan kerajaan membentuk pentadbiran negeri dengan majoriti dua pertiga.

Berita berkaitan
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
1 jam lalu· Politik
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
2 jam lalu· Politik
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
10 jam lalu· Isu semasa
Polis siasat laporan berhubung surat peletakan jawatan Ismail
22 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
1 jam lalu · Politik
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
2 jam lalu · Politik
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
9 jam lalu · Politik
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
21 jam lalu · Politik
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
22 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok