Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah.
PAS menegaskan sebarang kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN), khususnya membabitkan hubungan UMNO-PAS, perlu berasaskan prinsip kesamarataan tanpa mana-mana pihak berhak menentukan syarat atau mendominasi rundingan.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, berkata kerjasama antara kedua-dua parti perlu dibina melalui perbincangan bersama dengan mengambil kira kedudukan serta kekuatan politik masing-masing.
Beliau turut menyokong pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, yang menegaskan tiada istilah ‘Abang Long’ dalam rundingan kerjasama politik antara PN dan BN.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati kedudukan masing-masing dan tidak menjadikan rundingan sebagai ruang untuk satu parti mengarahkan atau memaksa parti lain menerima sesuatu keputusan.
“Itulah asas perbincangan kita. Banyak lagi kerusi lain yang boleh dibincangkan kemudian.
“Kita boleh duduk semeja dan berbincang sesama sendiri. Ia bukan soal satu parti boleh mengarahkan parti lain. Kita tidak mahu bentuk kerjasama seperti itu.
“Tiada siapa boleh menentukan syarat dalam kerjasama ini. Keputusan perlu dibuat melalui perbincangan bersama yang membabitkan semua pihak,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata kedudukan politik semasa perlu dijadikan asas dalam rundingan, termasuk mengekalkan status quo sebagai pendekatan awal sebelum sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi dibuat.
Pendekatan itu, katanya, boleh mengambil contoh kerjasama yang digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun ke-70 PAS Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0), menegaskan tiada pihak sepatutnya mengharapkan parti lain melakukan semua pengorbanan atau bertolak ansur dalam rundingan.
Perkembangan itu memberi gambaran PAS mahu membuka ruang kerjasama lebih tersusun dengan BN, termasuk UMNO, namun menolak pendekatan yang meletakkan mana-mana parti sebagai pihak lebih berkuasa.
Kerjasama politik antara PN dan BN sebelum ini menyaksikan kedua-dua gabungan memperoleh kemenangan dalam tiga PRN tahun ini, bermula di Johor pada Julai, Negeri Sembilan pada Ogos dan Melaka pada 14 November.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan