Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd Bakhtiar.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan mendesak pihak berkuasa membuka kertas siasatan berhubung penyerahan surat peletakan jawatan Menteri Besar, Ismail Lasim, kepada Istana, susulan penegasan beliau tidak pernah bersetuju surat berkenaan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd Bakhtiar berkata, penjelasan Ismail menimbulkan persoalan mengenai asas pengumuman peletakan jawatan yang dibuat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Malah, Ismail turut mengesahkan Tuanku Muhriz menitahkan beliau supaya meneruskan tugas sebagai Menteri Besar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai proses penyerahan surat berkenaan kepada pihak Istana.
Menurut Hamizan, UMNO-BN perlu menjelaskan kepada rakyat siapa yang mengarahkan surat itu dikeluarkan daripada simpanan parti dan diserahkan kepada Istana.
“UMNO-BN mesti menjawab satu soalan asas, siapa yang mengarahkan surat itu dikeluarkan daripada simpanan parti dan diserahkan kepada pihak Istana?
“Kepimpinan UMNO-BN bertanggungjawab memberi penjelasan terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan mengenai keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan perlu dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh bagi menentukan bagaimana surat berkenaan diserahkan serta sama ada wujud unsur salah laku atau cubaan memperdaya pihak Istana.
Hamizan turut menyifatkan cara UMNO-BN mengendalikan kemelut berkenaan sebagai tindakan yang menimbulkan ketidaktentuan politik, khususnya apabila pengumuman mengenai kedudukan Menteri Besar dibuat tanpa pengesahan persetujuan daripada Ismail sendiri.
Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku ketika rakyat Negeri Sembilan memerlukan pentadbiran negeri yang stabil dan berfungsi dengan baik.
Beliau turut mengingatkan UMNO-BN supaya tidak melibatkan institusi Raja-Raja Melayu dalam pertikaian atau perebutan kuasa dalaman parti.
“UMNO-BN perlu menghentikan sikap baling batu sembunyi tangan dan jangan sesekali mengheret institusi Raja-Raja Melayu ke dalam perebutan kuasa dalaman.
“Selesaikan pertikaian melalui saluran parti, hormati kedudukan institusi Istana serta proses di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan utamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Kemelut politik Negeri Sembilan tercetus susulan kontroversi surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar, yang kemudiannya dinafikan beliau sendiri. Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai kedudukan kepimpinan kerajaan negeri serta hubungan antara parti-parti dalam gabungan kerajaan negeri.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan