Sayed Amir Muzzakkir Al Syaed Mohamad.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa mengesahkan tertuduh dalam satu kes rasuah, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.
Pengakuan itu disahkan oleh saksi pendakwaan ketiga, Nik Noraini Nik Ya, 55, yang merupakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, Sayed Amir Muzzakkir berkhidmat dari 18 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.
Nik Noraini menyatakan dalam kenyataan saksi tugas dan tanggungjawab Sayed Amir Muzzakkir adalah berdasarkan arahan langsung Menteri Dalam Negeri pada masa itu.
Beliau juga memaklumkan penamatan perkhidmatan tertuduh adalah berikutan rombakan Kabinet selepas pertukaran pentadbiran kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.
Sayed Amir Muzzakkir, 42, menghadapi tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah wang sebanyak RM350,000.
Beliau didakwa pada 23 Mei lalu atas dua pertuduhan menerima suapan daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.
Wang suapan itu didakwa sebagai balasan untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bernilai RM381,112,042.44.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas pada 4 Disember 2020 dan 16 Disember 2020.
Beliau juga dituduh dengan pertuduhan ketiga iaitu meminta suapan berjumlah sama di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Perbicaraan kes ini di hadapan Hakim Rosli Ahmad dijadualkan disambung semula pada Khamis ini.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan