Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Usaha ke arah pembentukan secara rasmi Majlis Media Malaysia (MMM) sedang digerakkan dan pengumuman mengenainya dijangka dibuat menjelang sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, pada 14 Jun.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha tersebut, akan digerakkan selepas Rang Undang-Undang (RUU) MMM yang diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Feb lepas dan Dewan Negara pada 19 Mac mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan seterusnya diwartakan.
“Kita jangka dalam masa beberapa minggu ini, kita akan dapat mengerakkan usaha ke arah pembentukan secara rasmi Majlis Media Malaysia, setelah RUU itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan.
“Ia akan makan sedikit masa kerana selain daripada aspek pentadbiran, ada juga aspek kewangan yang kita perlu tunggu daripada Kementerian Kewangan. Saya jangka, insya-Allah menjelang HAWANA, kita akan ada berita baik tentang pembentukan MMM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi hari ini yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi sebelum ini berkata MMM yang penubuhannya diluluskan Parlimen, dijangka dapat diwujudkan dan memainkan peranannya bermula pertengahan tahun ini.
MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia kendiri yang melindungi kebebasan media dan memastikan etika kewartawanan dipatuhi, sekali gus memperkasakan industri media di Malaysia.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata HAWANA 2025 bukan sekadar acara sambutan tetapi satu platform untuk memperkukuh ekosistem media dan menghargai peranan yang dimainkan oleh semua wartawan.
“Ia juga untuk memperkukuh nilai profesionalisme dan kebebasan bersuara yang bertanggungjawab dalam kalangan pengamal media dan sebagai pembuka tirai, Pra-Pelancaran HAWANA akan diadakan pada 3 Jun ini di Wisma Bernama,” katanya.
Majlis kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka hadir.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun. – Bernama
Harga petrol tanpa subsidi naik 5 sen
Dua pembantu Najib diperintah bayar RM483,000 kepada pendakwah bebas
RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
Pendakwah terkenal didakwa seleweng dana NGO RM13 juta
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri