Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.
Nahas awal pagi hari ini melibatkan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan sebuah treler di Teluk Intan, Perak merupakan detik hitam buat pasukan keselamatan negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sembilan mangsa anggota FRU yang terkorban dan menganggap ia satu kehilangan besar buat negara.
“Anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa berada di barisan hadapan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
“Pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi juga kepada negara yang amat menghargai segala pengorbanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seluruh warga Kementerian Komunikasi turut berduka dan mendoakan agar roh semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fahmi turut mendoakan kesembuhan segera buat semua anggota yang cedera dalam kejadian berkenaan, serta menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan berita tidak sahih berkaitan insiden tersebut.
“Kami bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih serta menyekat penyebaran berita palsu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan,” tambahnya.
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum