Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan imej mencurigakan pada mesin pengimbas bagasi milik suspek yang baru tiba dari Bangkok, Thailand.
Tiga lelaki warga Jepun telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dalam satu serbuan yang berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan dadah bernilai RM2.4 juta, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 pagi apabila pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan imej mencurigakan pada mesin pengimbas bagasi milik suspek yang baru tiba dari Bangkok, Thailand menerusi penerbangan MH0781.
Menurut kenyataan AKPS, pemeriksaan fizikal seterusnya mendedahkan penemuan bahan disyaki kokain disembunyikan dengan teliti dalam bungkusan yang ditutupi oleh ikan bilis dan udang kering, sebelum dibungkus secara mampat bagi mengelirukan pihak berkuasa.
“Pegawai AKPS menemui bahan yang dipercayai dadah jenis kokain yang diselindungkan dengan menutup bungkusan tersebut menggunakan ikan bilis dan udang kering serta dibungkus secara mampat bagi mengaburi pihak pengesanan,” menurut kenyataan agensi tersebut.
Pemeriksaan menyeluruh mendapati kesemua enam bagasi dan beberapa beg galas milik suspek mengandungi dadah haram itu.
Jumlah rampasan disahkan sebanyak 12 kilogram kokain, dengan anggaran nilai pasaran mencecah RM2.4 juta.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Kes tersebut telah diserahkan sepenuhnya kepada Bahagian Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum