Portal berita FMT.
Polis menahan bekas wartawan portal Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, selepas isu soalan kontroversi yang didakwa berunsur perkauman semasa satu syarahan awam yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Program berkenaan menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, dengan tajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”.
Tan ditahan selepas tengah malam tadi sejurus hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Peguamnya, Rajsurian Pillai, mengesahkan penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, manakala siasatan dikendalikan oleh polis Bukit Aman.
Penahanan tersebut berlaku sehari selepas Tan mengumumkan peletakan jawatannya daripada FMT susulan kecaman awam yang tercetus akibat soalan yang dikemukakannya.
Dalam kenyataan permohonan maaf, Tan mengakui kesilapan itu berpunca daripada soalan yang “dirangka dengan kurang tepat” serta gagal mengambil kira sensitiviti isu.
“Yang paling penting, saya amat menyesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu, yang sepatutnya langsung tidak disebut sama sekali,” katanya, sambil mengakui beliau tidak mencapai tahap profesionalisme yang diharapkan daripada seorang wartawan.
Tan turut menegaskan soalan tersebut tidak berniat membandingkan situasi masyarakat Cina di Malaysia dengan penderitaan rakyat Palestin.
“Saya tidak menggunakan istilah ‘apartheid’ atau membuat perbandingan sedemikian. Perkara itu telah saya jelaskan semasa peluang bercakap kali kedua,” jelasnya.
Mengulas penahanan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran, menyifatkan tindakan polis sebagai keterlaluan.
“Beliau telah bersedia untuk bekerjasama dalam siasatan. Penahanan tidak diperlukan dan bersifat menghukum,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Media Malaysia turut mengecam tindakan mendedahkan maklumat peribadi serta gangguan terhadap wartawan susulan insiden tersebut.
FMT pula tampil memohon maaf dan menegaskan pihaknya tidak menyokong kenyataan Tan serta tidak mengetahui niat beliau untuk mengemukakan soalan itu.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib