Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour.
Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dengan disokong asas yang kukuh, struktur ekonomi yang pelbagai serta permintaan domestik yang kekal berdaya tahan, menurut Abdul Rasheed Ghaffour.
Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata kepelbagaian struktur ekonomi dan perdagangan negara menjadi faktor utama yang melindungi Malaysia daripada pergantungan berlebihan kepada satu sektor atau pasaran tertentu, sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi dalam persekitaran global yang mencabar.
“Struktur ekonomi kita pelbagai dan tidak bergantung kepada satu industri sahaja. Pasaran eksport Malaysia juga luas dan melibatkan banyak negara,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.
Menurut beliau, tiada satu negara pun menyumbang lebih daripada 15 peratus kepada jumlah eksport Malaysia, satu petunjuk jelas kekuatan kepelbagaian ekonomi negara.
Ekonomi global ketika ini berdepan ketidaktentuan berikutan konflik geopolitik, kadar faedah tinggi dan kelembapan perdagangan dunia.
Namun, Malaysia berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan hasil sokongan faktor dalaman yang stabil.
Abdul Rasheed memaklumkan bahawa prestasi ekonomi negara pada tahun lalu mengatasi jangkaan, dipacu oleh perbelanjaan pengguna, pelaburan swasta, eksport serta pemulihan sektor pelancongan.
Mengulas dasar fiskal, beliau berkata kerajaan telah menunjukkan komitmen yang jelas terhadap agenda pembaharuan ekonomi, termasuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi melibatkan bahan api, elektrik, air dan diesel. Langkah itu, katanya, dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan melaksanakan pembaharuan seperti yang dijanjikan, sambil memastikan penjimatan fiskal dapat disalurkan semula kepada rakyat secara bersasar,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Rasheed menekankan bahawa rangka kerja dasar nasional seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga, Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Strategi Semikonduktor Nasional memberi isyarat dasar yang jelas kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.
“Gabungan faktor domestik yang positif ini menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang menarik, dan ia turut menyumbang kepada sokongan terhadap pengukuhan ringgit,” katanya.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib