Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Cadangan pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun tidak akan menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, kata Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua, Perdana Menteri menjelaskan langkah itu dirangka selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengubah asas demokrasi berparlimen yang diamalkan negara sejak merdeka.
Menurut beliau, pindaan berkenaan juga tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan terhadap kerajaan yang memerintah.
Sebaliknya, ia bertujuan memperkukuh struktur perlembagaan melalui peruntukan yang lebih jelas demi memperkemas sistem semak dan imbang.
“Dalam silah demokrasi, kematangan sebuah negara tidak pernah diukur kepada lamanya seseorang memegang tampuk kuasa.
Ia diukur pada kekuatan institusi yang menjamin kesinambungan dasar dan pentadbiran negara melangkaui individu,” katanya.
Beliau menegaskan pengehadan tempoh jawatan bukan satu bentuk sekatan terhadap peluang kepemimpinan, sebaliknya usaha memastikan pentadbiran negara terus dipandu institusi yang kukuh dan berfungsi secara bebas.
“Pengehadan tempoh jawatan bukan penafian terhadap peluang kepemimpinan, sebaliknya satu ikhtiar untuk memastikan negara ini terus dipandu oleh institusi yang kukuh, berfungsi dan tidak terikat pada mana-mana insan semata-mata,” ujar beliau.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebelum ini sering dibahaskan dalam wacana reformasi institusi, khususnya selepas beberapa episod ketidaktentuan politik yang menyaksikan pertukaran kerajaan dalam tempoh singkat.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan bagi meningkatkan kestabilan politik dan keyakinan pelabur.
Untuk diluluskan, pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, menjadikan perbahasan kali ini antara yang paling penting dalam landskap politik semasa.
Kerajaan optimis cadangan tersebut mampu meraih sokongan rentas parti demi kepentingan jangka panjang negara.
Samsuri tandatangan watikah hanya selepas rundingan PAS-BN gagal: Marzuki
BN kekal solo, tak layan kerjasama dengan PAS atau Wawasan: Zahid
172 calon rebut 56 kerusi DUN Johor, saingan lima penjuru di tiga kerusi: SPR
Maszlee tawar agenda baharu demi Johor, kerajaan negeri seiring dengan persekutuan
Kempen PRN dipantau 24 jam, orang ramai diminta bantu bendung berita palsu: Fahmi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar