Sidang media Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil.
Kerajaan menubuhkan sebuah pusat arahan komunikasi ekonomi atau “war room” di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai langkah segera berdepan ketidaktentuan global, khususnya krisis tenaga dan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, pusat berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, dengan sidang media khas dijangka diadakan hampir setiap hari bagi memastikan maklumat kepada rakyat lebih tersusun dan konsisten.
“Pada peringkat awal, sidang media mungkin diadakan setiap hari sekitar pukul 4 petang untuk menyelaras komunikasi kerajaan berkaitan respons dan langkah yang diambil terhadap krisis tenaga global serta konflik di Asia Barat,” katanya semasa sidang media di Angkasapuri hari ini.
Menurut beliau, perkembangan melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran akan diberi perhatian khusus kerana berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia, terutama dari segi harga tenaga dan kestabilan pasaran.
Langkah ini mencerminkan pendekatan lebih proaktif kerajaan dalam menangani cabaran geopolitik semasa.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketegangan di Asia Barat semakin meningkat, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global dan kenaikan kos sara hidup di banyak negara.
Fahmi menjelaskan, pusat arahan itu akan menjadi platform utama untuk menyelaras naratif kerajaan serta memberi penerangan berkala kepada rakyat.
“Kita mahu pastikan maklumat yang disampaikan tepat dan tidak bercelaru, selain membantu rakyat memahami situasi sebenar,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Kabinet turut mengarahkan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir untuk bertemu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada masa terdekat.
“Pertemuan ini penting untuk berkongsi pandangan dan ikhtiar kerajaan dalam menghadapi kesan ekonomi susulan konflik di Asia Barat dan krisis tenaga global,” kata Fahmi lagi.
Sementara itu, kerajaan juga memaklumkan beberapa mesyuarat ASEAN tahun ini akan diadakan secara dalam talian sebagai langkah berjaga-jaga, kecuali pertemuan melibatkan ketua kerajaan.
Antaranya termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar