Daiso labur RM1.2 bilion, bina hab pengedaran terbesar dunia di Malaysia: PMX

5 jam lalu · Isu semasa

Pelaburan bernilai RM1.2 bilion oleh Daiso Malaysia Group Sdn Bhd (Daiso) menerusi pembukaan Pusat Pengedaran Global (GDC) di Pulau Indah dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik utama di rantau ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi pusat pengedaran terbesar Daiso di dunia mencerminkan keyakinan syarikat dari Jepun itu terhadap kestabilan ekonomi, kemudahan infrastruktur dan potensi pertumbuhan jangka panjang negara.

“Apabila sebuah syarikat seperti Daiso memilih Pulau Indah untuk pusat pengedaran global terbesarnya di seluruh dunia, ia merupakan satu pengiktirafan jelas terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, kematangan infrastruktur serta potensi jangka panjang negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat pengedaran berkenaan di Pulau Indah, hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan tidak hanya melihat nilai pelaburan berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk, sebaliknya turut menilai sumbangannya terhadap peluang pekerjaan bergaji lebih baik, pembangunan kepakaran tempatan dan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Katanya, kemudahan berkenaan berpotensi mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi menerusi kerja pengasingan, penyimpanan dan pembungkusan semula barangan untuk pasaran antarabangsa.

Mengulas perkembangan sektor logistik, Anwar berkata Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian 15.1 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) tahun lalu, sekali gus meletakkannya antara 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia perlu bergerak ke tahap lebih tinggi dengan memberi tumpuan kepada peningkatan nilai tambah perdagangan, bukan sekadar mengejar jumlah kargo yang melalui pelabuhan negara.

“Langkah seterusnya adalah untuk kita memperoleh lebih banyak nilai daripada aliran perdagangan yang melalui pelabuhan kita, bukan hanya menumpukan kepada jumlah kargo semata-mata,” katanya.

Bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan Westports 2, perancangan pelabuhan mega di Pulau Carey serta projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rangkaian pengangkutan kargo menggunakan rel.

Pusat pengedaran Daiso seluas 133,000 meter persegi itu merupakan kemudahan terbesar pernah dibangunkan syarikat berkenaan di seluruh dunia.

Ia dilengkapi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) hasil kerjasama Murata Machinery Ltd dari Jepun, dengan keupayaan mengurus lebih 76,000 unit penyimpanan stok (SKU).

Kemudahan itu akan menjadi hab utama yang menghubungkan operasi pengeluaran dari Jepun, China dan pembekal global sebelum barangan diagihkan ke 27 negara di Asia dan Asia Barat.

Anwar turut berharap penglibatan syarikat tempatan termasuk PKT Logistics Group dalam operasi pusat berkenaan dapat mempercepat pemindahan teknologi, menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi serta membuka peluang kepada produk buatan Malaysia menembusi rangkaian pasaran Daiso di seluruh dunia.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Daiso Malaysia Group Sdn Bhd dan PKT Logistics (M) Sdn Bhd bagi memperkukuh pengurusan pergudangan serta penghantaran kargo serantau.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Daiso Industries Co. Ltd, Seiji Yano serta Pengerusi Daiso Malaysia Group Sdn Bhd, Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Berita berkaitan
Anwar tegur Hadi jangan permainkan agama, sedia dedah kandungan CSA
November 5, 2026· Politik
Anwar: Kestabilan politik yakinkan Google labur RM61 bilion
November 5, 2026· Isu semasa
Isu MOF-KKDW: Anwar tegaskan perbezaan pandangan bukan tanda perpecahan
8 jam lalu· Politik
Kes scam: Janji untung 50 peratus, pesara guru rugi RM521,787
November 4, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCMC uji internet di 16 stesen ECRL, liputan terowong turut dipantau
November 5, 2026 · Isu semasa
Kenderaan rosak akibat RON95, Petron dan Caltex tawar pampasan: Armizan
5 jam lalu · Isu semasa
NUJ mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
6 jam lalu · Isu semasa
Pasaran hartanah berdepan lambakan 33,094 rumah
8 jam lalu · Isu semasa
Dua anggota polis saman Ketua Pengarah AKPS berhubung insiden KLIA
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
November 1, 2026
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok