Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan agar temasya Sukan Malaysia XXII (SUKMA) 2026 ditangguhkan sehingga konflik di Asia Barat reda dan pembinaan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Bertitah sempena pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor, baginda menegaskan kos penganjuran yang tinggi perlu dinilai dalam keadaan ekonomi semasa.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, Beta berpandangan lebih wajar penganjuran itu ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan stadium siap sepenuhnya,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda turut menitahkan agar perlawanan tahunan Piala Sultan Selangor bagi tahun 2026 dibatalkan.
Sebagai ganti, baginda berkenan menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak melibatkan pelajar bawah 15 tahun dari seluruh daerah di Selangor.
“Ini sebagai usaha memupuk bakat muda dan menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi,” titah baginda, sambil menambah bola sepak kekal sebagai sukan paling popular di negeri itu.
Cadangan ini hadir di tengah ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi krisis tenaga dan konflik geopolitik, termasuk ketegangan berpanjangan di Asia Barat yang memberi kesan kepada perbelanjaan awam dan kos operasi acara besar.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk meneruskan SUKMA 2026 seperti dijadualkan dari 15 hingga 24 Ogos, selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesiapsiagaan penganjur serta atlet.
Untuk rekod, SUKMA 2026 dijangka mempertandingkan 474 acara merangkumi 37 jenis sukan dengan penyertaan atlet lelaki, wanita dan campuran.
Sebanyak 53 venue di seluruh Selangor serta beberapa lokasi lain, termasuk Velodrom Nasional di Negeri Sembilan, dirancang sebagai gelanggang pertandingan.
Cadangan penangguhan oleh Sultan Selangor kini dijangka mencetuskan perbincangan lanjut antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menentukan hala tuju temasya sukan terbesar negara itu.
Tsunami pertama landa Pantai Iwate selepas gempa kuat di Jepun
Kes rasuah terowong: Pendakwaan mohon pindaan pertuduhan terhadap Guan Eng
Kempen Internet Selamat diperluas guna pendekatan rakan sebaya
Harga minyak dunia naik selepas ketegangan di Selat Hormuz memuncak
Pengukuhan ringgit cerminan asas ekonomi negara yang kuat: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan