Ayob Khan Mydin Pitchay.
Malaysia terus dikenal pasti sebagai laluan transit utama sindiket dadah antarabangsa, dengan nilai rampasan mencecah ratusan juta ringgit hanya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, negara ini bukan pengeluar dadah, sebaliknya menjadi lokasi persinggahan sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran lain.
“Malaysia sejak dulu lagi adalah negara transit. Kita bukan negara pengeluar, tetapi tempat laluan.
“Ada sebahagian kecil digunakan dalam negara, namun kebanyakannya dibawa masuk dari utara Semenanjung sebelum dihantar ke destinasi lain,” katanya dipetik laporan media.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, jumlah rampasan dadah dan racun mencecah RM3.1 bilion, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini sahaja, nilai rampasan sudah mencapai RM915 juta.
Angka tersebut menunjukkan aktiviti penyeludupan masih aktif dan mencabar pihak berkuasa, meskipun pelbagai operasi dijalankan secara berterusan.
Dalam usaha mengekang pengaruh sindiket, pihak polis kini memberi tumpuan kepada tindakan di bawah undang-undang jenayah terancang, termasuk menggunakan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
“Kita bukan sekadar rampas dadah, tetapi mahu tangkap dalang utama. Kalau tidak, ketua sindiket akan terus terlepas walaupun barang dirampas,” jelasnya.
Tambah beliau, sindiket menggunakan pelbagai laluan bagi membawa masuk dadah ke negara ini, termasuk melalui laut, darat dan udara.
Laluan di utara Semenanjung dikenal pasti antara yang paling aktif, selain pergerakan ke Sabah dan Sarawak melalui pengangkutan laut dan penerbangan.
“Kawalan sepenuhnya memang sukar kerana jaringan mereka luas, tetapi kita bekerjasama rapat dengan negara jiran seperti Thailand untuk membanteras kegiatan ini,” katanya.
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum