Isu bil elektrik.
Pengguna elektrik di negara ini menerima rebat berjumlah RM3.1 bilion menerusi mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) sejak ia diperkenalkan pada Julai tahun lalu.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding surcaj kira-kira RM800 juta yang dikenakan kepada pengguna dalam tempoh sama.
Menurut TNB, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan kesan surcaj AFA kepada pengguna.
“AFA bukan caj tambahan baharu dan ia tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB. AFA berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing,” menurut kenyataan itu.
AFA mula dilaksanakan pada 1 Julai 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik baharu bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).
Menerusi mekanisme itu, perubahan kos bahan api dan kadar pertukaran mata wang akan diselaraskan dalam bil elektrik secara berkala. Jika kos penjanaan lebih rendah, pengguna akan menerima rebat, manakala kenaikan kos boleh menyebabkan surcaj dikenakan.
TNB berkata, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April lalu sebelum surcaj mula dikenakan pada Mei susulan peningkatan kos penjanaan akibat krisis di Asia Barat.
“Bagi September ini, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen setiap kilowatt-jam (kWj) dan kadar berkenaan dikemas kini setiap bulan selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Bagaimanapun, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 600 kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA, selain cukai perkhidmatan lapan peratus dan Caj Peruncitan.
Di bawah struktur tarif baharu, kumpulan pengguna terbabit membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik.
Dalam pada itu, TNB menjelaskan perubahan bil elektrik bulanan tidak semestinya berpunca daripada AFA semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi corak penggunaan elektrik isi rumah.
“Perubahan bil bulanan turut dipengaruhi corak penggunaan peralatan elektrik terutama ketika musim perayaan, cuti sekolah dan pelaksanaan aturan bekerja dari rumah,” katanya.
TNB turut menggalakkan pengguna memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, meningkatkan kecekapan tenaga dan mempertimbangkan skim Time of Use (TOU) bagi menikmati kadar lebih rendah ketika waktu luar puncak.
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
Zamri Vinoth kekal berdepan pertuduhan, perbicaraan April tahun depan
AGC: Proklamasi 19 April turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum