Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semasa merasmikan MySIREN di Parlimen hari ini.
Sistem Amaran Awam Nasional (MySIREN) mampu menyampaikan maklumat kecemasan kepada orang ramai dengan lebih pantas berbanding khidmat pesanan ringkas (SMS), selain tidak mengumpul sebarang maklumat peribadi pengguna.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sistem berkenaan menggunakan teknologi pemancar yang membolehkan mesej amaran disampaikan secara serentak kepada semua telefon bimbit dalam kawasan liputan, tanpa perlu menghantar mesej kepada nombor telefon tertentu.
Menurutnya, kaedah itu berbeza dengan SMS yang memerlukan penghantaran kepada setiap penerima dan berkemungkinan berdepan kelewatan sekiranya berlaku kesesakan dalam rangkaian telekomunikasi.
“SMS mesti dihantar kepada penerima. Sistem ini tidak kisah siapa yang menerima, tetapi telefon bimbit itu berada dalam lokasi berkenaan.
“Jadi, semua akan dapat dan tidak ada maklumat yang dikutip melalui pelaksanaan ini. Data pengguna selamat,” katanya ketika menghadiri satu majlis di Bangunan Parlimen Malaysia hari ini.
Beliau berkata, MySIREN menggunakan menara telekomunikasi sebagai pemancar bagi menyampaikan amaran kecemasan secara terus kepada peranti yang berada dalam kawasan liputan.
Kaedah itu membolehkan penyampaian maklumat dilakukan tanpa bergantung kepada proses penghantaran SMS biasa melalui rangkaian syarikat telekomunikasi.
Fahmi berkata, sistem berkenaan diharap dapat digunakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) secepat mungkin bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat awal ketika berlaku bencana.
Bagaimanapun, ujian secara menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik di seluruh negara.
Sehubungan itu, satu ujian nasional MySIREN dijadualkan berlangsung serentak pada 29 November ini, jam 10 pagi.
Ujian berkenaan penting mengambil kira situasi Monsun Timur Laut yang memberi kesan berbeza mengikut fasa di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, Kementerian Komunikasi turut melaksanakan kempen penerangan melalui penyiaran video khidmat masyarakat (PSA) secara berulang di stesen televisyen, radio dan pawagam bermula sekarang.
MySIREN merupakan inisiatif untuk memperkukuh penyampaian amaran kecemasan kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan bencana seperti banjir dan kejadian yang memerlukan tindakan segera.
Pelaksanaan sistem ini dijangka membantu orang ramai menerima maklumat penting dengan lebih pantas supaya langkah keselamatan dapat diambil tanpa kelewatan.
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
Pua persoal Zahid, ungkit kegagalan GST era Najib
MINDEF tubuh jawatankuasa khas siasat skandal dadah TUDM
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan