Jabatan Peguam Negara (AGC).
Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Perikatan Nasional (PN) meneruskan aktiviti politiknya, termasuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
Notis rayuan bertarikh 23 Oktober 2026 itu difailkan bagi pihak Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Kedua-dua perayu memohon supaya keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Azizan Md Arshad, pada 22 Oktober lalu dibatalkan menerusi prosiding di Mahkamah Rayuan.
Rayuan itu membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan PN untuk menggantung pelaksanaan tindakan RoS berkaitan pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
Antara responden yang dinamakan dalam notis rayuan ialah Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Wong Chia Zhen, serta Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Sathes Kumar Nilamaham.
Turut dinamakan ialah Setiausaha Agung Wawasan, Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Pejuang, Sazmi Miah.
Rayuan berkenaan berkaitan tindakan di bawah Akta Pertubuhan 1966, termasuk perintah penggantungan bertarikh 23 September 2026 di bawah subseksyen 13(2A) serta kenyataan sebelum pembatalan pendaftaran bertarikh 22 September 2026 di bawah subseksyen 13(2) akta sama.
Bagaimanapun, notis rayuan itu tidak memperincikan alasan kerajaan mencabar keputusan berkenaan atau tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan.
Semalam, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PN untuk menggantung notis pembatalan pendaftaran gabungan itu yang dikeluarkan RoS pada 20 Oktober lalu, sehingga prosiding semakan kehakiman selesai didengar.
Ketika membacakan keputusan, Azizan berkata mahkamah mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan penggantungan diberikan, khususnya bagi mengelakkan kemudaratan terhadap aktiviti politik PN dan penyertaannya dalam PRN.
Beliau turut mengambil kira hak pemohon untuk menjalankan aktiviti politik sebagai anggota parti, wakil rakyat, Ahli Parlimen atau anggota kerajaan negeri.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu membolehkan PN meneruskan kegiatan politiknya buat sementara waktu, sementara isu pembatalan pendaftaran gabungan tersebut diputuskan menerusi prosiding semakan kehakiman.
PRN Melaka: PAS nafi akan umum calon sepentas dengan BN
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum