Wee Meng Chee atau Namewee.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan representasi oleh penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee untuk mengkaji semula dua pertuduhan berkaitan pemilikan dadah dan bahan terkawal.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.
Namewee, 43, sebelum ini memohon agar pertuduhan terhadapnya ditarik balik atau dipinda kepada kesalahan lebih ringan.
Namun, pihak pendakwaan menegaskan keputusan untuk meneruskan pertuduhan kekal.
“Representasi tertuduh telah diteliti, namun ditolak,” kata Nurainizatul Farhana di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan, artis itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 1.57 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan berasingan, Namewee turut didakwa memiliki bahan jenis sildenafil seberat 0.78 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952, yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Namewee sebelum ini sering mencetuskan kontroversi melalui karya seni dan kenyataannya, namun kes mahkamah ini memberi tumpuan kepada isu perundangan yang berbeza, melibatkan pemilikan bahan terlarang di bawah undang-undang Malaysia.
Derma palsu guna visual AI, orang ramai diminta berwaspada
Utusan Malaysia, Kosmo! rombak operasi, hampir 100 pekerja bercuti berbayar
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
Isu curi kandungan, Fahmi minta buat laporan kepada Majlis Media
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum