Ketua Armada Bersatu Selangor, Na’im Brundage, sebelum ini memohon mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung tindakan menyekat dua akaun TikTok miliknya tiga tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Ketua Armada Bersatu Selangor, Na’im Brundage, untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung tindakan menyekat dua akaun TikTok miliknya tiga tahun lalu.
Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta dua pihak lain.
Dalam penghakimannya, Norliza mendapati tindakan menyekat akaun berkenaan dibuat oleh TikTok dan bukannya MCMC.
“Sudah tentu TikTok yang telah menapis dan menyekat akaun Na’im dan bukan MCMC,” katanya ketika membacakan keputusan.
Menurut Norliza, surat Na’im kepada MCMC bertarikh 23 Mac 2024 menunjukkan beliau menyedari akaunnya telah disekat dan cuba mendapatkan penjelasan daripada TikTok, namun tidak menerima jawapan.
Na’im kemudian mengesyaki tindakan itu mempunyai kaitan dengan MCMC.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati MCMC hanya mengambil tindakan pentadbiran dengan memaklumkan TikTok mengenai pelanggaran garis panduan komuniti sebelum platform berkenaan mengambil tindakan terhadap akaun tersebut.
Norliza berkata, tindakan pentadbiran MCMC itu tidak boleh dianggap sebagai keputusan yang boleh menjadi asas kepada semakan kehakiman.
“Permohonan semakan yang difailkan pemohon atas andaian MCMC telah mengarahkan TikTok untuk mengharamkan atau menapis akaun pemohon tidak boleh berjaya dalam semakan kehakiman,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, meskipun ambang kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman adalah rendah, pemohon tetap perlu menunjukkan wujudnya kes yang boleh dipertikaikan pada peringkat substantif.
Kes itu bermula selepas Na’im mendapati dua akaun TikTok miliknya disekat pada 2023. Beliau kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun 2024 terhadap lima pihak, termasuk Ahmad Fahmi, MCMC dan Kerajaan Malaysia.
Na’im memohon perintah ‘certiorari’ bagi membatalkan keputusan menyekat kedua-dua akaun berkenaan. Dalam afidavit sokongannya, beliau menyatakan akaun tersebut digunakan sebagai medium untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai isu semasa.
Bantahan awal kemudian difailkan terhadap permohonan Na’im bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.
Na’im diwakili peguam Latheefa Koya, manakala MCMC diwakili A Ruebankumar dan menteri serta Kerajaan Malaysia oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin.
Ketika ditemui media, Latheefa berkata anak guamnya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Ruebankumar pula mengesahkan susulan keputusan itu, permohonan Na’im untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman telah ditolak.
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
DUN Melaka dijangka bubar hari ini, PRN semakin hampir
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum