Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pembatalan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 20 September lalu disifatkan sah dan mempunyai asas perlembagaan.
Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), yang memperuntukkan tempoh seseorang Exco memegang jawatan adalah selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.
Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim serta peguam yang mempertikaikan keputusan itu tidak mempunyai kesan undang-undang untuk membatalkan titah Tuanku Muhriz.
“Perkara 38(5) jelas menggunakan perkataan ‘at the Ruler’s pleasure’. Perkataan yang berbeza membawa makna yang berbeza.
“Peruntukan ini juga berbeza dengan beberapa peruntukan lain dalam UUTKNS yang secara khusus mensyaratkan nasihat Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, Menteri Besar mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos lalu, manakala 10 Exco mengangkat sumpah pada 7 Ogos.
Muhammad Hariz turut merujuk kepada pendirian Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai dan 13 September serta kenyataan Kamar Jabatan Peguam Negara pada 17 September berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Beliau berkata, Perkara 38(5) menyediakan beberapa keadaan berkaitan tempoh dan pembatalan pelantikan Exco, termasuk penarikan perkenan Yang di-Pertuan Besar, pembatalan atas nasihat Menteri Besar serta peletakan jawatan oleh Exco.
“Perkara 38(4) pula berkaitan keadaan Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti ADUN. Keadaan itu tidak berlaku dan hujah mengatakan Perkara 38(4) menghalang tindakan Baginda adalah tidak relevan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keputusan Tuanku Muhriz pada 20 September lalu kekal berkuat kuasa, termasuk terhadap individu yang pelantikannya telah dibatalkan.
Menurutnya, mana-mana keputusan yang dibuat atas nama jawatan Exco selepas tarikh berkenaan boleh berdepan cabaran undang-undang.
“Titah Baginda kekal berkuat kuasa dan menzahirkan individu-individu yang pelantikannya telah dibatalkan tidak lagi memegang jawatan Exco,” katanya.
Kemelut itu tercetus selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta atas alasan mereka memungkiri sumpah jawatan.
Bagaimanapun, Ismail sebelum ini menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas.
Beliau berpandangan penamatan Exco tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Pertikaian berhubung tafsiran Perkara 38(5) itu kini menjadi antara isu utama dalam kemelut perlembagaan Negeri Sembilan.
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
DUN Melaka dijangka bubar hari ini, PRN semakin hampir
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum