Saifuddin Nasution Ismail.
Cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah dicadang memberi tumpuan kepada tahanan reman sebagai langkah mengurangkan kesesakan penjara di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu bukan perkara baharu dan sudah dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2024 sebagai antara usaha memperkemas pengurusan sistem koreksional negara.
Menurutnya, konsep yang sedang dibincangkan membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat ditempatkan di rumah sementara menunggu perbicaraan, dengan pergerakan mereka dipantau menerusi peranti elektronik.
“Konsep yang kita bincangkan sejak awal adalah jelas, iaitu bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan mereka di rumah dengan pemantauan menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.
“Kes-kes jenayah berat pula memang telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Saifuddin berkata penghuni penjara ketika ini terdiri daripada individu yang sudah disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman, selain tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan.
Tahanan reman pula merujuk individu yang sudah didakwa tetapi tidak dibenarkan ikat jamin atau gagal menyediakan wang jaminan, menyebabkan mereka ditempatkan di penjara sehingga kes dibicarakan.
Katanya, gabungan kedua-dua kategori itu menyumbang kepada masalah kesesakan penjara yang kini berdepan jumlah penghuni melebihi kapasiti tersedia.
“Kita sekarang ini ada 41 penjara, tetapi penghuni penjara sekarang dalam 93,000 orang, sedangkan kapasiti penjara kita 75,000 orang,” katanya.
Beliau berkata jika rang undang-undang itu diluluskan, mahkamah mempunyai ruang untuk mempertimbangkan penempatan tahanan reman yang layak di rumah, tertakluk kepada syarat dan pemantauan elektronik.
Saifuddin turut memaklumkan Kabinet sudah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses menggubal dan membentangkan Akta Tahanan Rumah di Parlimen.
“Matlamat asalnya kekal, iaitu mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Jika rang undang-undang itu diluluskan, kita boleh keluarkan tahanan reman ini di rumah dan kita pakaikan segala peranti moden untuk mengawasi pergerakan mereka sehingga tarikh perbicaraan. Itu maksud asal yang kita bincangkan,” katanya.
Cadangan berkenaan kini dijangka melalui proses penggubalan sebelum dibentangkan di Parlimen. Mekanisme kelayakan, kategori kes yang dikecualikan serta bentuk pemantauan akan menjadi antara perkara penting yang perlu diperincikan.
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
Zamri Vinoth kekal berdepan pertuduhan, perbicaraan April tahun depan
AGC: Proklamasi 19 April turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum