Najib Razak terlibat dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB.
Gabungan mahasiswa dan anak muda merancang mengadakan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 pada penghujung bulan ini bagi mendesak kerajaan menggantung pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Najib Razak, sehingga mahkamah membuat keputusan terhadap cabaran undang-undang berhubung perkara itu.
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 3.0 berkata, pelaksanaan tahanan rumah itu perlu ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah, selain menuntut kerajaan menjelaskan asas perundangan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di kediamannya.
Gabungan itu mengumumkan pendirian berkenaan dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.
Mereka turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik bantahan terhadap permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Selain itu, kerajaan diminta mendedahkan bahagian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu yang boleh didedahkan kepada umum.
Pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan berkata, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong perlu dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Kami tidak mempersoalkan budi bicara dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Tetapi kita perlu faham raja tidak mengatasi undang-undang,” katanya.
Gan turut mempersoalkan kemungkinan keputusan itu menjadi duluan kepada kes rasuah lain pada masa depan.
“Kalau pada masa depan ada lagi Najib 2.0, adakah dia juga akan diberikan tahanan rumah?” katanya.
Isu itu kembali menjadi perhatian selepas minit mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September dinyahklasifikasikan bagi tujuan prosiding mahkamah.
Menurut laporan Malaysiakini, minit berkenaan menunjukkan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berpandangan tiada asas undang-undang untuk melaksanakan tahanan rumah.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib dan menitahkan Hannah menandatangani perintah berkaitan.
Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di rumah. Badan Peguam Malaysia kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman dan turut memohon pelaksanaan keputusan itu digantung.
Mahkamah menetapkan 17 Mac 2027 untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.
Najib sebelum ini menerima pengurangan hukuman kes SRC International kepada enam tahun penjara. UMNO turut melunaskan bayaran denda RM50 juta pada 6 November menerusi kutipan Tabung Solidariti Najib Razak.
Dalam perkembangan berkaitan, aktivis mahasiswa Universiti Malaya, Dayang Humaira Abas berkata, rakyat masih menanggung kesan kewangan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kita beri contoh pembayaran hutang 1MDB yang mencecah bilion-bilion tetapi harus ditanggung oleh rakyat,” katanya.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan sebelum ini memaklumkan kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion bagi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB setakat 31 Ogos 2026.
Kerajaan turut melaporkan pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, manakala anggaran beban bersih masih mencecah RM20.1 bilion selepas mengambil kira baki komitmen berkaitan.
Dayang berkata, wang berkenaan sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh institusi pendidikan tinggi serta meningkatkan kebajikan mahasiswa.
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan