Amaran kecemasan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.
Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan susulan potensi bahaya di beberapa kawasan utama di bahagian barat negara itu termasuk Jeddah, Makkah dan Taif.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Platform Amaran Awal Kebangsaan bagi Kecemasan Arab Saudi menggesa penduduk supaya segera berlindung di lokasi selamat serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan secara terperinci bentuk atau jenis ancaman yang mencetuskan amaran berkenaan.
Dalam kenyataannya, penduduk diminta bertenang dan menuju ke tempat selamat terdekat, terutama di dalam bangunan atau bilik bahagian dalam yang jauh daripada tingkap.
“Penduduk digesa supaya bertenang dan segera menuju ke tempat selamat yang terdekat, sebaik-baiknya di dalam bangunan atau bilik bahagian dalam yang jauh dari tingkap serta kekal di situ hingga reda,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung. Mereka yang berada di luar bangunan pula diminta memasuki bangunan terdekat atau mendapatkan perlindungan di sebalik penghadang kukuh.
Pemandu juga diminta memberhentikan kenderaan di lokasi yang jauh daripada jambatan dan bangunan tinggi, selain mengelakkan kawasan sesak serta mengikuti perkembangan menerusi saluran rasmi kerajaan.
Amaran itu dikeluarkan ketika ketegangan keselamatan di rantau berkenaan meningkat susulan konflik antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman.
Houthi sebelum ini dilaporkan melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron ke arah beberapa bandar serta infrastruktur di Arab Saudi, manakala tentera Saudi melancarkan serangan balas terhadap kedudukan kumpulan berkenaan di Yaman.
Kira-kira setengah jam selepas amaran dikeluarkan, Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan situasi kecemasan di Bandar Makkah telah berakhir selepas ancaman berjaya ditangani.
Bagaimanapun, penduduk terus dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan keselamatan, mengelakkan kawasan sesak dan tidak merakam atau menyebarkan situasi berkaitan insiden berkenaan.
Orang awam yang berdepan kecemasan turut diminta menghubungi talian 911 untuk mendapatkan bantuan.
Perkembangan itu menjadi perhatian khusus kerana Jeddah, Makkah dan Taif merupakan antara kawasan penting di barat Arab Saudi yang menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pelawat dari seluruh dunia.
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
Zamri Vinoth kekal berdepan pertuduhan, perbicaraan April tahun depan
AGC: Proklamasi 19 April turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum